Kisah kali ini ialah
mengenai seorang Penambang yang mana kerjanya setiap hari mengambil upah
menghantar orang ramai menyeberangi sungai dengan menggunakan perahu.
Pada suatu hari datang seorang tua yang tidak dikenali oleh beliau
kerana orang ini bukanlah berasal dari penduduk tempatan yang sentiasa
menaiki perahunya berulang alik menyeberangi sungai tersebut. Orang tua
ini meghampiri Tukang Penambang seraya berkata "Bolehkah kamu membawa
aku ke seberang sana dengan hati yang ikhlas". Jawab Tukang Penambang,
"Aku sanggup membawa tuan menyeberangi sungai ini dengan perahu ku ini
secara ikhlas dan saya tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada
tuan".
Orang tua
itu terus menaiki perahu dan penambang tadi mengayuhkan perahunya untuk
menyeberangi sungai tersebut. Satelah sampai ditebing sana, orang tua
tadi menanyakan kepada Penambang "Bolehkah saudara menerima amanah".
Kata penambang "Boleh, apakah perkara itu". Orang tua itu menghulurkan
bungkusan kain dan sebatang tongkat dan disambut oleh Penambang dengan
hati yang terbuka.
Setelah
Penambang mangambil barang-barang yang diserahkan oleh orang tua tadi
lalu berkata orang tua tersebut kepada penambang. "Esok sekitar waktu
tengahari, kamu akan menemui aku meninggal dunia dibawah pokok itu"
sambil menunjukkan kearah pokok yang dimaksudkan. Orang tua itu berkata
lagi "Kamu hendaklah menguruskan jenazah ku dan kamu kafanlah aku dengan
kain yang berlapik dibawah kepalaku". Penambang tadi terpegun mendengar
kata-kata tersebut, dan sambil berkata didalam hati, apakah betul orang
tua ini, dan bagaimana mungkin dia mengetahui bahawa dia akan
menginggal dunia pada esok harinya.
Penambang
tadi berkata, "Bagaimana dengan bungkusan dan tongkat ini". Orang tua
itu berkata "Kamu tidak perlu risau tentang perkara ini kerana akan
datang seorang pemuda kepada kamu dan berilah kepadanya jika ia menanya
tentang bungkusan dan tongkat ini". Orang tua tersebut terus berlalu
dari situ.
Pada
waktu malamnya penambang tadi tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana
memikirkan kejadian pada siang harinya. Pada esoknya penambang tadi
bekerja seperti biasa. Apabila sampai masa yang dikatakan oleh orang tua
tersebut penambang terus pergi ke pokok yang dinyatakan dan alangkah
terkejutnya beliau kerana apa yang dikatakan adalah benar, lalu ia
menghampiri tubuh yang terbaring dibawah pokok, setelah mengamati
ternyata orang tua tersebut telah meninggal dunia. Setelah jenazah
selesai dikebumikan, Penambang tadi balik kerumah tanpa bekerja pada
hari tersebut.
Selang
beberapa hari datang seorang pemuda dan bertanya kepada Penambang,
"Adakah kamu ada menyimpan barang-barang yang ditinggalkan oleh seorang
tua". "Ada", kata penambang dan beliau berkata lagi, "Bagaimana kamu
tahu saya ada menyimpan barang-barang tersebut". Pemuda tadi
menceritakan bahawa beliau adalah seorang yang banyak melakukan maksiat,
kerjanya menyanyi dan menghibur orang. Pada suatu malam ketika saya
sedang tidur, saya bermimpi bahawa seorang Wali Allah telah meninggal
dunia dan meninggalkan bungkusan dan sebatang tongkat. Suara tersebut
menyuruh saya pergi mengambil barang-barang tersebut kerana Allah telah
memilih saya untuk menggantikan tempat Wali tersebut.
Pemuda tadi terus mengambil barang-barang yang diamanahkan kepada penambang dan berlalu dari situ.
Bagitulah adik-adik, Allah Maha berkuasa lagi Maha Pengampun dan Allah berkuasa memberi hidayah kepada hambanya yang dipilih.
0 comments :
Post a Comment