Kisah ini merujuk
kepada asal-usul bermulanya membaca doa Qunut oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Harap dpat ambil iktibar dan dijadikan panduan.
Dan
daripadanya Anas r.a katanya : “Telah datang rombongan kepada Nabi
s.a.w suatu rombongan daripada orang-orang Arab Badawi datang menemui
Nabi s.a.w. (Rombongan ini merupakan rombongan daripada ahli Najd, iaitu
penduduk pedalaman semenanjung tanah Arab yang dikenali dengan Riyadh).
Mereka terdiri daripada orang-orang Badawi. Mereka diketuai oleh Abu
Ubara’ datang kepada Nabi s.a.w dan berkata hantarkan bersama kami
beberapa orang yang boleh mengajar kami akan Al-Quran dan Sunnah. Lalu
Nabi s.a.w menghantar kepada mereka seramai 70 orang lelaki dalam
kalangan Ansar dikenali dengan ahli Qurra’ iaitu mereka yang membaca dan
mengaji Al-Quran.
Dalam
kalangan mereka, bapa saudara aku (bapa saudara Anas r.a, adik beradik
kepada ibunya) Haram Bin Milham yang mana mereka ini membaca Al-Quran,
mempelajari di waktu malam dan mengajinya dan adalah mereka itu di waktu
siang datang mengangkut air dan mereka meletakkan air itu di masjid dan
mereka mencari kayu api dan mereka menjualnya dan membeli dengannya
akan makanan dan diberi kepada ahli Sufah (orang-orang faqir dan tidak
ada keluarga yang tinggal di serambi rumah Nabi s.a.w seperti Abu
Hurairah) dan orang-orang faqir. Maka Nabi s.a.w menghantar mereka
(menghantar golongan Qurra’) yakni kepada orang Badawi. Lalu mereka itu
(orang-orang Badawi yang kafir itu) telah melakukan terhadap mereka maka
membunuh mereka sebelum mereka sampai ke tempat yang dituju lalu mereka
berkata sebelum dibunuh : ”Ya Allah Ya Tuhan kami, sampaikan berkenaan
kami kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha
kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami” dan datang seorang di kalangan
musuh kepada Haram (bapa saudara Anas) dari belakangnya lalu menikamnya
dengan tombak sehingga menembusinya. Lalu Haram berkata : ”Aku telah
berjaya demi Tuhan Kaabah”. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w :
“Sesungguhnya saudara-saudara kamu telah dibunuh dan sesungguhnya mereka
telah berdoa : “Wahai Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami kepada Nabi
kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan
Engkau redha kepada kami, Wahai Tuhan kami”. (Hadith Riwayat al-Bukhari
dan Muslim, dan ini lafaz Muslim)
Huraian hadith : (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)
Peristiwa
ini menceritakan tentang ahli Qurra’ (Qari-Qari Al-Quran dan mereka
yang tahu hukum agama) seramai 70 orang daripada kalangan Ansar yang
dihantar oleh Nabi s.a.w kepada satu qabilah Arab di Najd. Qabilah Arab
ini datang dengan tujuan menipu bukan untuk masuk Islam. Mereka
berpura-pura bahawa mereka telah masuk Islam dan berkata wahai
Rasulullah, “hantarlah kepada kami guru-guru yang mengajar kami”. Maka
Rasulullah menghantar 70 orang ahli Qurra’ ini. Sewaktu di pertengahan
jalan sebelum sampai ke destinasi, tiba-tiba mereka telah diserang oleh
musuh. Ahli Qurra’ ini telah diperangkap oleh Qabilah Arab Badawi.
Qabilah ini bukan mahu memeluk Islam tetapi mahu menipu untuk membunuh
sahabat-sahabat radhiyallahu ‘anhum. Mereka yang diperangkap ini terdiri
daripada sahabat-sahabat yang mengaji bersama dengan Nabi s.a.w di
waktu malam dan di waktu siang hari mereka mencari kayu api dan
menjualnya untuk membeli makanan untuk diberikan kepada ahli Sufah
(orang-orang faqir dan miskin yang tinggal di serambi rumah Nabi s.a.w).
Mereka juga mengangkut air dan diletakkan di masjid untuk dijadikan air
wudhu’ oleh mereka yang datang ke masjid. Mereka ini merupakan
orang-orang yang baik dan tiba-tiba Allah memilih mereka untuk mati
sebagai mati syahid.
Sebelum mereka dibunuh oleh musuh-musuh, mereka
berdoa kepada Allah Ta’ala dengan doa (antara yang berdoa itu ialah
Haram Bin Milhan, bapa saudara Anas r.a) : “Ya Allah Ya Tuhan kami,
sampaikan berkenaan kami (berita yang berlaku kepada kami ini) kepada
Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu
dan Engkau redha kepada kami”.
Ketika mereka sedang berdoa, datang
seorang kafir menikam Haram dari belakang sehingga menembusi dadanya dan
haram berkata : “Demi Tuhan, aku telah berjaya”. Haram gembira kerana
mati syahid. Berita ini kemudiannya dibawa oleh Malaikat Jibril ke Madinah dan menyampaikannya kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w menerima
berita ini dengan menangis dan dengan sedih. Salah seorang dari mereka
dibawa ke Mekah dan diserahkan kepada golongan Musyrikin Mekah lalu
dihiris dengan pisau dan dijadikan upacara oleh Musyrikin Mekah lalu
mereka mempersendakan bagaimana kalau kami memberitahu kepada Muhammad
kamu diseksa.
Kata sahabat itu : “Aku tidak rela Muhammad kena duri,
lebih baik aku dibunuh.” Seorang pemimpin kafir yang masuk Islam
menceritakan peristiwa ini : “Aku tidak pernah tengok seorang yang kasih
kepada orang lain sebagaimana sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad
s.a.w sehingga rela mati daripada Nabi kena duri apatah lagi Nabi
dibunuh.” Terkejut. Ketika dihiris, sahabat ini mengatakan bahawa dia
telah mencapai kebahagiaan sebagaimana yang telah dijanji oleh Allah
Ta’ala dan dijanji oleh Nabi s.a.w yang mana Nabi s.a.w menerima berita
ini daripada Malaikat Jibril. Nabi mengarahkan dan mengajak sahabatnya
berqunut dan bermula itulah qunut dibaca dalam solat Subuh.
Doa Qunut
ialah memohon petunjuk dari Allah, dan memohon Allah memberi pertolongan
dan member kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Qunut dibaca
bersempena dengan peristiwa sahabat Nabi s.a.w yang dihantar untuk
mengajar Al-Quran telah dibunuh oleh orang-orang kafir. Nabi membaca
qunut selepas solat dan dalam Mazhab Syafi’e, qunut menjadi sunat ab’ad
dalam fardhu Subuh dan solat Witir separuh yang akhir di bulan Ramadhan.
Hadith ini menunjukkan bagaimana ketaatan para sahabat radhiyallahu
‘anhum kepada Nabi s.a.w. Mereka sanggup pergi ke tempat yang jauh lagi
merbahaya kerana perintah Rasulullah s.a.w sehingga mereka dibunuh oleh
musuh-musuh Islam. Mereka juga dianggap sebagai orang-orang yang
berjihad. Mereka yang mengajar dan menyampaikan ilmu dikira sebagai
berjihad dan mereka yang dibunuh kerana menyampaikan ilmu, mereka juga
dianggap syahid di sisi Allah s.w.t.
0 comments :
Post a Comment