Pada suatu malam Sultan Harun Al-Rashid bersama-sama Al-Abas mengunjungi seorang ulamak Fudlail Iyadi di rumahnya. Tiba di hadapan rumahnya, baginda mendapati beliau sedang mengaji Al-Quran, dan kedengaran pada satu ayat yang bermaksud "Apakah orang yang beriman sama dengan orang yang derhaka? mereka tidak sama".

Sultan Harun Al-Rashid tunduk dan berkata kepada Al-Abas, "Andainya kita dapat mengambil hikmah dari ayat tadi, sungguh besar manfaatnya buat kita". Al-Abas mengangguk seolah merasa tersindir, bukan oleh ucapan sultan tadi, tetapi disebabkan bacaan oleh Fudlail Iyadil. Ia memanggil dengan suara yang amat keras. "Hai Fudlail, sultan datang untuk bertemu kamu, keluarlah engkau".

Ulamak yang warak itu menjawab dari dalam, "Apa sultan tidak tahu, apa yang seharusnya dilakukan oleh ulamak pada saat saat seperti sekarang, sehingga sultan sanggup bertemu di waktu malam?" Fudlail tidak mahu keluar, ia hanya membuka pintu, lalu duduk kembali di atas alas sembahyangnya dan memadamkan lampu. Didalam suasana gelap Fudlail tersentuh tangan sultan dan berkata "Alangkah halusnya tangan sultan di dalam gelap". Sultan terasa tersindir, ia sedar memang selama ini kelembutannya seakan-akan hanya nampak di tempat gelap sahaja, pada saat orang lain tidak melihat apa-apa yang sebenarnya sering di lakukan di luar pengetahuan rakyatnya.

Ia gementar apalagi ketika Fudlail melanjutkan ucapannya."Sayang tangan sehalus ini belum tentu selamat dari api neraka". Fudlail melanjutkan ucapannya tanpa prasaan takut. "Hai raja, hendaklah engkau bersiap-siap apabila tiba masanya diminta dipertanggungjawabkan di hadapan Allah berserta rakyat yang kau pimpin. Bukankah Rasulullah pernah bersabda bahawa diantara mereka yang paling keras ditanya dalam pengadilan Allah adalah penguasa yang mengambil hanknya dari rakyat, tetapi dirinya tidak memberi manfaat kepada rakyat dan tidak sanggup melindungi mereka dari kezaliman atau aniaya iaitu raja yang dipatui oleh rakyat namun tidak memperlakukan sama antara yang kuat dengan yang lemah, tidak berlaku adil antara yang besar dengan yang kecil, serta kalau bercakap semahun-mahunya sendiri, hanya berdasarkan hawa nafsu belaka".

Mendengar perkataan Fudlail itu raja menangis tersedu-sedu, menyedari besarnya amanat yang harus di pikulnya dan alangkah dahsyatnya petaka yang akan menimpanya seandainya ia tidak dapat menunaikan kewajipan secara adil. Setelah melihat sultan bersedih hati, Al-Abas menegur dengan marahnya "Hai Fudlail, hentikan celotehmu! adakah engkau akan membunuh raja?". Lantas sultan berkata "Wahai guru yang baik terimalah hadiah dari saya sebanyak seribu dinar yang dibawa oleh Al-Abas ini".

Cepat Fudlail memotong, "Tidak saya tidak mahu menerima hadiahmu kerana saya tahu wang tersebut bukan benar-benar milikmu, kembalikanlah seribu dinar itu kepada orang-orang yang telah engkau ambil darinya". Raja pun berdiri dengan perasaan kecewa, tetapi telah memperolehi peringatan yang berguna, Harun Al-Rashid lalu keluar meninggalkan Fudlail yang berapa lama kemudian telah kembali membaca Al-Quran dan melakukan mutalaah sehingga jauh malam.