Saban malam, seorang ibu dari keturunan Bani Israil
berendam air mata. Hatinya dibalut rasa pilu setiap kali menatap
anaknya yang menderita disebabkan penyakit misteri. Selain berdoa siang
dan malam, si ibu berusaha mengubati anaknya itu. Namun tiada tanda
penyakitnya akan sembuh, sebaliknya bertambah teruk.
Satu
malam, selepas memberikan anaknya ubat, dengan linangan air mata, si
ibu berdoa ke hadrat Allah, sekali gus bernazar jika penyakit anaknya
sembuh. Dengan kehendak Allah, tidak berapa lama kemudian, si anak yang
sekian lama terlantar perlahan-lahan sebuh. Selera makannya bertambah
dan dalam waktu terdekat, dia kembali pulih.
Sekali
lagi dengan iringan air mata, si ibu tak henti-henti meluahkan rasa
syukur kepada Allah. Sesungguhnya dia merasa cukup terharu selepas
doanya dimakbulkan. Sambil tersenyum dia mengusapkan rambut anak
lelakinya itu dengan penuh kasih sayang. Lantaran terlampau gembira, ibu
tadi terlupa menunaikan nazar yang dilafazkan ketika berdoa. Hinggalah
pada suatu malam, dia bermimpi dikunjungi seorang lelaki tua yang tidak
dikenalinya.
Lelaki
itu berkata kepadanya dalam nada marah, "Hai perempuan! Tunaikanlah
nazarmu agar kelak engkau tidak ditimpa musibah daripada Allah." Sejurus
kemudian lelaki tersebut lenyap dan si ibu tersentak daripada tidurnya.
Beberapa kali dia beristighfar sambil mengurut dadanya yang berdebar
kencang. Digosok-gosok kelopak matanya, kemudian dia termenung
memikirkan mimpi itu. Perasaan takut telah menerjah-nerjah nalurinya.
Keesokan
malamnya, si ibu memanggil anaknya. Lalu diceritakan perintah lelaki
tua dalam mimpinya serta nazar yang belum ditunaikan. "Nazar apa?" tanya
si anak. "Begini... semasa kamu sakit tempoh hari, mak bernazar
sekiranya kau sembuh, mak berjanji untuk keluar dari dunia ini selama
tujuh hari. Doa mak dimakbulkan tapi hingga ke hari ini nazarnya belum
dapat ditunaikan," jelas si ibu. "Apa yang mesti kita lakukan?" tanya si
anak selepas agak lama termenung. "Apa lagi galikan sebuah lubang kubur
untuk mak!" perintah si ibu. "Gali kubur? Tapi.. bukankah kubur hanya
untuk orang mati?". Soal si anak penuh kehairanan. "Dah, jangan banyak
tanya. Gali kubur, kemudian timbuskan mak. Selepas tujuh hari, kau
galilah semula. Insya Allah mak akan selamat," ujar si ibu selamba.
Dalam
keadaan terpinga-pinga, si anak akur dengan perintah ibunya. Lalu dia
segera mengambil cangkul, melakukan apa yang disuruh. Setelah selesai si
anak membaringkan tubuh ibunya dalam liang lahad. Dengan linangan air
mata, si ibu menadah tangan lalu berdoa: "Ya Allah, Engkau telah
memenuhi permintaan dan doaku. Sekarang aku akan tunaikan nazarku.
Peliharalah aku daripada kebinasaan alam kubur ini, ya Allah dan
selamatkanlah anakku."
Dalam
keadaan serba salah si anak meletakkan papan keranda dan menyodok tanah
untuk mengambus lubang kukur itu. Dia kemudian berjalan pulang sambil
air matanya tak henti-henti mengalir. "Mungkin ibuku sedang
meronta-ronta kelemasan sebelum menghembuskan nafas terakhir," bisik si
anak mengenangkan nasib sibunya. Si anak mengira hari dan dirasakannya
waktu terlalu lambat bergerak. Namun sesaat pun si anak tidak lupa
meohon agar Allah sentiasa memelihara ibunya.
Didalam
kubur, si ibu merasakan lubang kuburnya semakin hari semakin luan.
Beberapa ketika kemudian, dia terpandang imbasan cahaya disebelah kanan
kepalanya. Lalu dia menoleh. Didapati ada suatu lubang kecil di
sebelahnya yang amat terang. Apabila di intainya ternampaklah sebuah
taman yang penuh dengan bunga-bungaan yang amat indah. Belum pernah dia
melihat taman seindah itu seumur hidupnya.
Si
ibu tambah tersentak apabila ternampak dua wanita sedang duduk di tepi
sebuah kolam yang jernih airnya. Seorang berwajah sugul sementara yang
seorang lagi begitu ceria. Menyedari kehadirannya, wanita berwajah ceria
bersuara: "Wahai perempuan, silakan masuk dan duduklah bersama kami"
pelawanya penuh sopan. Sejurus itu lubang kecil di kubur si ibu
perlahan-lahan membesar sehingga memudahkannya berjalan masuk ke taman
tersebut. Dihampirinya kedua-dua wanita itu. Tiba-tiba muncul seekor
burung, lalu melebarkan sayapnya ke atas kepala wanita ceria itu. Tidak
berapa lama kemudian, seekor lagi datang mematuk- matuk kepala wanita
berwajah muram itu.
Kejadian
itu memeranjatkan si ibu. Dia bertanya kepada perempuan yang dipayungi
burung itu. "Bagaimana kamu memperolehi kemulian ini?" tanyanya lagi.
"Semasa di dunia, aku mentaati suamiku. Semasa aku kembali menemui
Tuhan, dia redha kepadaku sehingga kini. Maka Allah muliakan aku seperti
mana kamu lihat." Setelah itu, si ibu tadi bertanya pula kepada wanita
yang melolong-lolong setiap kali burung mematuk kepalanya. "Semasa di
dunia," jawabnya tersekat-sekat, "aku perempuan yang soleh, tidak pernah
aku melanggar perintah Allah, tetapi aku sering kali derhaka kepada
suamiku." Apabila aku meninggal, dia berada dalam keadaan tidak redha
kepadaku... maka itulah Allah jadikan kubur ini tempat penyiksaan. "Jika
kamu kembali ke dunia nanti, ceritakan kepada suamiku, yang aku memohon
ampun dan maaf." "Insya Allah," jawab si ibu tadi perlahan, menahan
hiba.
Tujuh hari
kemudian,setelah tinggal bersama-sama dua orang wanita tersebut, si ibu
masuk semula ke kuburnya. Sedar-sedar anak lelaki ibu tadi sudah berada
di sisinya. Kedua-dua anak beranak itu berpelukan dengan air mata
berjejeran kerana tidak menyangka dapat berjumpa semula. Sebaik si anak
membawa ibunya pulang, hebohlah ke seluluh kampung bahawa si ibu telah
kembali semula selepas seminggu dikebumikan.
Berduyun-duyunlah
orang menziarahi perempuan tersebut, bertanyakan pengalamannya selama
tujuh hari berada dalam kubur. Di antara yang hadir itu termasuklah
suami perempuan kedua yang ditemui si ibu tadi semasa di alam kubur.
Sebaik mendengar pengalamannya, lelaki itu pun bersuara. "Dialah arwah
isteri saya" kata lelaki itu sayu. "Malang sekali, sekarang dia sedang
diseksa kerana derhaka kepada kamu Ampunilah dia agar arwah dapat
ketenangan di sana," jelas ibu itu. "Baiklah... aku ampunkan segala
dosanya terhadapku dan aku redha dengan pemergiannya," sambung lelaki
itu lagi.
Aneh,
malam itu si ibu bermimpi didatangi perempuan yang dipatuk burung.
"Bagaimana keadaan kamu sekarang?" tanya si ibu itu. "Alhamdulillah, aku
selamat daripada seksaan kerana pertolonganmu menyampaikan pesan agar
suamiku memaafkan dosaku. Semoga Allah membalas kebaikanmu dan
mengampunkan engkau," ujar wanita itu terharu. Si ibu terjaga lantas
beristighfar beberapa kali.
0 comments :
Post a Comment