Sebenarnya aku dah nak tidur dah ni tadi pun. Tapi entah kenapa tangan ni gatal juga lagi nak merayap. Blog walking….dah jadi tebiat aku pulak kalau merayau nih, tak sah kalau aku tak membaca dan mengomen. Terbacalah satu entry dari blog SARA, tulisnya [ada satu entri ni saya bace,,tentang husna kehilangan seorang kawan baik,,] Jadi aku sangat tersentuh dengan tulisan dia, sehingga aku masuk pula ke blog HUSNA ni. Lalu aku membaca pula artikel di blog HUSNA berkenaan kawannya yang bernama IDA. “arwah menderita kerana penyakit "radang sendi" sejak beliau berusia 14 tahun..agak lama jgk la..mungkin itu yg terbaik utk nya..Al-Fatihah...” semuanya menjadikan aku semakin ingin tahu dan ada satu rasa hiba dan sebak yang aku tidak mengerti sama sekali. Aku melihat seolah akulah yang diperkatakan itu. Seolahnya akulah yang telah mati itu.
 
Lalu aku masuk pulak ke blog Allahyarhamah IDA. Dan aku menjumpai figure seorang gadis yang sangat indah akhlaknya dan sangat cinta kepada Allah. Kebanyakan tulisan-tulisan yang diketengahkan didalam blognya bersifat yang baik-baik. Nasihat, peringatan dan tidak kurang juga sumber-sumber rujukan yang berguna. Lalu aku membuat keputusan untuk mengambil satu diantara yang banyak itu untuk aku memanjangkannya. Semoga Allah menerima amalan ini  dan menyampaikan fadhilatnya kepada Allahyarhamah.

Dan aku merayu kepada sahabat-sahabatku dengan segala bentuk rendah hati, untuk seorang yang tidak aku kenali. Ambillah artikel ini, dan panjangkanlah juga, serta mintalah kepada yang lain supaya melakukan yang sedemikian rupa. Anggaplah ini satu sedekah, dan janganlah kita memandang sedekah itu sebagai satu beban.

Tips from Syeikh Abdulkadir Al Jailani:-

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu : “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.
Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”.
Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku”.

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku”.

Jika bertemu dengan seorang yang jahil, maka katakanlah (dalam hatimu) : “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku”.

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) : “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.

notahati: Jangan memandang seseorang itu berdasarkan penampilan luarannya sahaja. Dia mungkin kelihatan buruk di pandangan mata tetapi mempunyai kecantikan hati dalam dirinya. Sentiasa cermin diri kita sebelum membuat perbandingan atau menilai orang lain. Setiap manusia punya kehebatan dan kelemahan. Ingatan dan pesanan buat diri dan sahabat.