Aku tidak perduli engkau siapa padaku. Jika engkau salah tetap engkau salah padaku. Tidak sama sekali aku bersekutu denganmu dalam perkara itu. Jika sekali engkau sahabatku, nescaya sahaja akan aku menasihatimu, atau pula engkau saudara-saudaraku, atau engkau paman-pamanku, pasti aku menegur kesalahan itu. Atau engkau orang-orang yang tidak sehaluan dengan aku? Tetaplah akan aku kritik juga.

Dan aku menyedari kadang-kadang lidahku terlalu tajam dalam sesetengah hal. Dan kadang-kadang juga ianya manis dalam beberapa hal. Maka selamilah rahsia yang terselindung disebaliknya. Sesungguhnya aku mengelak dari berkata yang sia-sia. Cuma saja cara dan bahasa aku tidak sama dengan mereka yang lain itu. Jika itu membuatkan engkau rasa tidak mudah?! Maka tinggalkan. Muntahkan segala rasa kelat, masam dan pedas itu. Tidak mengapa sama sekali.

Kerana aku tidak membutuhkan sanjungan dan sukaramai dari tulisan-tulisanku. Jika itu yang menjadi hajatku, nescaya aku mengusahakan kumpulan-kumpulan nasyid dan café-café kuliah yang manis-manis belaka isinya. Biar semua mabuk kepada lidahku. Biar semua mengeletek pangkal-pangkal punggungku dengan puji-pujian. Kerana aku mengerti manusia ini ada bidangnya. Sedangkan setengah dari mereka itu ahli dalam bidangnya, dan sebahagian yang lain pula ahli dalam bidang yang lain pula. Dan aku menerima kekuranganku dengan mengambil menafaat dari kelebihan orang lain. Tidaklah aku katakan hendak hati ini supaya sombong dengan kebodohan sendiri. Kerana itu tidaklah patut sama sekali pada pemikiran dan perbuatan.

Namun dalam mencari hala tuju pada penulisan ini. Aku tidak dapat lari juga dari sela-sela waktu terperangkap dengan material-material yang berputar disekitar halaman rumah, percutian dan resepi-resepi masakan sahaja. Kisah-kisah putus cinta. Kisah-kisah perkahwinan yang hancur. Bukanlah aku menterjemahkan ini kepada makna yang remeh. Dan aku tidak meremehkan sama sekali. Cuma aku menuntut diri ini kearah yang lebih serius dan berat.

Sesuatu yang perlu diulang-ulang supaya dapat kefahamannya. Bukan sesetengah perkara yang bila engkau lihat gambar sahaja engkau telah mengerti akan duduk perkaranya. Tidak perlukan kupasan-kupasan lanjut. Dan aku meletakkan diriku tidak ditangga yang dikatakan benak dan terkurung.

Lalu mengubah tulisan-tulisan aku tidak lagi sesuai untuk dibaca oleh golongan-golongan ibu. Yang mana pada perkiraaan aku mereka ini tidak membicarakan berkenaan sesuatu yang merumitkan diri sendiri. Dan mereka memberi komen-komen yang sejenis sahaja. Mereka lari dari kebencian manusia. Mereka meraih pujian dan kata-kata manis. Lalu mereka lena, dan aku juga lena. Dan sajian-sajian nikmat yang dilalui oleh orang lain itu telah membuatkan kita semua menjadi tidak bersyukur dengan nikmat yang berada dipangkuan sendiri.

Larilah..larilah wahai diri. Lari jauh dari semua ini. Dan aku telah lari dari bahan bacaan yang sedemikian. Dan aku juga melarikan diri dari corak penulisan yang ringan dan senang itu. Maka jika kalian mengharapkan hidangan yang manis-manis disini. Jawapannya tidak lagi, nescaya resepi masakanku kali ini akan bercampur aduk dengan segala macam rasa.