Aku melihat mereka menetakkan mata-mata yang berkilat itu keleher-leher kaumnya sendiri. Tanpa ia menghiraukan darah pekat merah yang mengalir umpama sungai nil. Lagaknya seperti serigala lapar dan buas tidak dengan sedikit pun pertimbangan waras. Mereka memamah sehingga ketulang-tulang rusuk tetangganya. Mereka tidak perduli pada rintihan anak kecil disebelah mereka, malah menjadi semakin bernafsu.
 
Mereka mencarik-carik dan meranapkan segala macam kesejahteraan diatas muka bumi ini. Dengan tidak mempertimbangkan sudut hati yang paling dalam itu. Dengan mencemari maqam-maqam yang lebih rendah dari maqam an-nafs itu, dan sesungguhnya hati mereka tidak terkilan walau sedikitpun. Dan mereka tidak juga kuatir dan gentar pada peringatan-peringatan bagi yang berlaku zalim dan kejam. Sesungguhnya hati-hati mereka hitam pekat seperti malam yang gelap tanpa bintang.

Lalu menjadi jauhlah harapan hati ini kepada sebuah kedamaian. Seperti tetangga yang saling mengasihi tetangganya. Adakah ia hanya sebuah mimpi yang mustahil menjadi nyata? Atau kita sangat membenci perlakuan itu juga? Lalu kita membalas perbuatan mereka dengan perlakuan yang lebih melampaui batas? Tidak wajar sama sekali hendak dirungutkan kesengsaraan ini. Jika engkau yang dikejami itu juga menzalimi orang lain.

Jangan jadi seperti itu. Dan jangan membalas perbuatan zalim mereka melebihi yang sepatutnya. Kerana kelak engkau tidak kurang sama sahaja seperti mereka. Dan jangan pula menyamakan kebodohan mereka itu dengan kebijaksanaan engkau. Kerana tidak pantas lembu-lembu peliharaan tinggal sekandang dengan harimau-harimau buas. Jika ada diantara mereka itu yang senang menjadikan diri mereka sendiri seperti anjing yang menyalak-nyalak. Tidak perlulah engkau menjadi ayam jantan yang berkokok pula. Dan jika ada diantara mereka yang tampil dengan dalil-dalil yang menyesatkan akal dan fikiran. Usahlah diperdulikan mereka itu. Jangan sesekali beserta dengannya.

Mereka itu adalah sekumpulan bubuk yang hanya menjadi perosak kepada sebuah istana yang megah. Mereka menjadikan ia lemah dan reput didalam. Sedang pada luarannya ia kelihatan sangat kukuh. Mereka inilah yang menjadikan amal-amal mereka itu jambatan-jambatan kesenangan dunia dan menghimpunkan dinar-dinar emas itu bersama keringat-keringat orang lain kedalam satu benjana. Dan tidak segan dan silu mereka menaburkan berita-berita palsu berkenaan dengan kesusahan yang bakal tiba.

Sepertinya khazanah yang dilangit itu dalam tilikan mereka, seolahnya mereka tembus mata pada yang terkandung di luhmahfuz itu. Sehingga mereka dengan sangat berani memberitakan kepada haiwan-haiwan ternakan mereka yang dunia ini sesungguhnya telah kekurangan gandum. Maka berlari-larilah ayam-ayam belanda itu dengan risaunya kepada sang helang yang berbulukan ayam jantan.