Satu ketika dua temanku telah berkelahi sesama mereka dan tidak bertegur untuk sekian waktu. Sewaktu ketiadaan ku salah seorang dari mereka telah pergi 'dijemput Penciptanya'.

Lalu aku tanyakan kepada temanku yang seorang lagi itu..."Apakah perasaanmu?" lalu dia menyerahkan kepada ku satu coretan yang bertajuk "in the graveyard someone is your enemy" (............)

Lalu aku membacanya dengan teliti. Dan aku mengerti apa yang hendak dia sampaikan. Iaitu, “sebenci mana sekalipun engkau pada seseorang itu, namun setelah ketiadaannya, hanya kebaikanlah yang engkau dapat lihat. Tiada lagi benci dan sakit hati, hanya cinta dan kasih yang melimpah-limpah, namun telah tiada lagi tempat untuk engkau tumpahkan”.

Lantas aku mengambil iktibar akan peristiwa itu. Dan aku serukan kepada seluruh manusia sekelilingku agar, berkasih sayanglah antara kalian. Jauhkanlah sengketa, namun jika ianya terjadi juga, maka ringankanlah tangan-tanganmu untuk memohon maaf. Dan lapangkanlah hati-hatimu untuk memberi kemaafan.

Perhatikanlah mereka yang didalam kerugian itu, mereka yang sengaja melemparkan bara api kerumah-rumahnya sendiri. Mereka bertikai atas nama bangsa dan suku-suku. Mereka berkelahi kerana kepercayaan masing-masing. Bukankah telah Allah ingatkan kepada kita : 
“… Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan-amalan kami dan bagi kamu amalan-amalan kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu. Allah menghimpunkan antara kita dan kepadaNya lah kita kembali.” (Asy-Syura : 15)

Tidakkah kita terasa sayang pada keamanan ini? Sungguhpun kita berbeza budaya dan kepercayaan. Tapi kita punya tujuan yang sama saja. Menjalani liku-liku kehidupan ini dengan penuh ketenangan dan semangat setia kawan. Sedang umur manusia ini sangat pendek dan kesempatan untuk menikmatinya telah disia-siakan pula. 

Tidakkah kita lihat matahari yang sama yang menerangi dimana saja bumi yang kita pijak ini. Dan ia  tidak pernah pilih kasih untuk memancarkan cahayanya. Salahkah, atau berat benarkah untuk kita menerima hakikat perkongsian ini tidak merugikan mana-mana pihak?

Atau saja dunia ini pada perkiraan mereka sangat kecil dan sempit. Dan terlalu sedikit bahagiannya sehingga kita perlu berebut kerananya? Dan bersengketa, lalu yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu? Dan yang beruntungnya adalah serigala-serigala lapar yang berada diantara kita. Yang menanti peluang dan ruang untuk mengambil kesempatan. Tidakkah kita lihat dengan jelas yang ini adalah tali-tali boneka yang ditambatkan keleher-leher diantara kita semua?

Jauhkanlah persengketaan, dan sambungkanlah tali persahabatan. Setiakawan itu pula pada pendapat dan penilaian aku tidak menuntut nilai yang terlalu tinggi. Hanya sedikit toleransi. Namun bukanlah maksudnya sudi dipijak dan diinjak kepala-kepala mereka pada setengah golongan yang lain. 

Kadang-kadang sesuatu yang besar itu datangnya dari satu hal yang sangat kecil. Masih belum melibatkan kain sesiapa yang terselak pun. Tetapi oleh kerana sikap yang tidak suka mendengar penjelasan orang lain, atau juga kerana tabiat yang suka mencelelah saat orang lain tengah bercakap itulah menyebabkan kefahaman yang kita dapat itu selalunya lain dari yang hendak disampaikan kepada kita.

Kita keras dalam menyatakan pendapat kita. Lagi dan lagi sehingga hati ini berasa puas dan yakin yang orang lain telah mendengarnya dan memahaminya. Sedangkan kita tidak ingin mendengar pendapat orang lain, lagi dan lagi sehingga kita memahami apa yang hendak ia sampaikan. Apakah sikap ini adil? Atau layakkah kita menepuk-nepuk dada dengan bangga dengan sikap bongkak dan degil yang kita miliki?

Aku tertarik pada kata-kata ‘Sings’ dalam cerita “Seniman Bujang Lapok”. “Dia punya rezeki dia makan, lu punya rezeki lu makan, apa salah makan sama-sama?” Mungkin disini perkataannya adalah rezeki, tapi aku melihatnya dari sudut yang lebih luas lagi. Ianya lebih kepada kesenangan bersama, atau lebih besar daripada itu. Salahkah kita berkongsi bersama-sama? Berkongsi dalam ertikata bagiku ialah memberi hak sendiri kepada orang lain. Berkongsi dengan mereka. Bukan berkongsi dalam ertikata merampas dan mengambil bahagian orang lain. Benar itu juga perkongsian, tetapi perkongsian yang engkau tuntut dari orang lain terlebih dahulu, sedang engkau sendiri sangat berkira dan lokek dengan bahagianmu!!!  

Sebenarnya bertolak ansur itulah yang paling payah untuk dilakukan. Tak perlu kita pergi terlalu jauh. Muhasabah diri sendiri cukuplah. Seperti contohnya dalam mendokong sesuatu prinsip yang kita yakin ianya adalah yang paling tepat sekali. Bolehkah kita bertolak ansur dengan orang lain yang tidak sehaluan dengan kita? Senangkah untuk menerima kritikan? Atau tidak melenting sama sekali jika ada diantara mereka yang dengan lantang  menentang apa yang engkau perjuangkan selama ini?

Jangan bandingkan pendapatku kali ini dengan pendapat-pendapat aku yang telah lepas itu. Kerana hujah-hujah yang dulu itu adalah berkaitan dengan peganganku berkenaan dengan Agamaku. Dan tidak ada tolerasi sama sekali dalam meninggikan Allah dan RasulNya serta membela iman agar tidak sesat. Sedang yang diketengahkan disini, intinya adalah berkenaan dengan makan dalam pinggan yang sama itu. Tidak akan membuatkan kita kenyang lebih lama jika kita memakannya dengan sendirian. Dan  tidak pula akan lebih cepat laparnya jika kita berkongsi hidangan tersebut.

Dan dalam senario ini. Aku juga faham, sangat senang dan mudah untuk memberi sebuah kritikan. Atau mencela sesutu perlakuan. Hanya katupkan bibir bawah dan bibir atasmu dan jelir-jelirkanlah lidah itu, maka keluarlah bunyi yang dihajatkan dari dalam ‘perut’mu. Jika baik isi perutnya, maka enak dan merdulah kedengarannya. Tetapi jika angkuh dan gelojoh isinya, maka busuk dan pedih pulalah bagi yang ditujukan. Kritikan itu adalah senang disuarakan, tetapi melahirkan kritikan itu kedalam bentuk bahasa yang paling jujur dan bijaksana itu yang sukar.

Jujur pada pendapatku bukanlah lepaskan saja apa yang terbuku itu tanpa prajudis atau berselindung-selindungan, atau juga kias berkias. Tetapi jujur itu adalah adil dalam memberi kritikan. Dalam keadaan memberi , dirinya sendiri berlapang dalam menerima. Dan bijaksana itu pula adalah bijak menyeimbangkan kekurangan sesuatu perkara itu dengan kelebihannya.

Atau ada saja yang tidak setuju. Yah silakan, ada satu ucapan yang aku pernah baca dari satu tulisan orang lain. “Kalau saya tidak suka dikritik dan tidak suka ditegur, atau tidak berlapang hati, saya tidak menulis berkenaan isu-isu sebegini. Saya akan menulis sahaja cerita-cerita para Sahabat r.a.” Dan  aku bersetuju  dengan ucapan itu. Dan aku sendiri tidak pernah menutup pintu diskusi. Dan ruang komenter dalam blog aku ini sendiri  tidak ‘approve by admin’ pun. Tidak pernah dulu, tidak pernah sekarang, dan insyaAllah tidak akan sama sekali. Sesiapa saja bebas meluahkan pendapat mereka. Tidak ada sekatan dan tidak  ada tapisan sama sekali. Jika saranan yang sampai itu baik pada penilaian aku.maka aku akan mengusahakannya. Jika pula kritikan itu pedas dan bertentangan dengan pendirian aku. Maka akan aku muhasabah diri sendiri agar menjadi lebih bermenafaat  kepada golongan yang aku pimpin.

Ayuh kita membuang sangkaan-sangkaan buruk kepada orang lain. Lemparkan jauh-jauh, “rasa diri ini lebih dari banyak sudut”. Dan mudahan juga Allah melembutkan hati kita dalam menerima peringatan. Kerana aku melihat kacau bilau dunia ini sesungguhnya hanyalah berpunca dari sifat yang satu ini. Iaitu sifat merasakan diri sendiri betul dan lebih betul dari orang lain yang betul. Alah-beralah itu diketepikan sama sekali. Malah merasa hina dan jijik jika ada sifat yang demikian di dalam diri.

Sehingga lama kelamaan, ianya melalut-lalut kearah politik dan perkauman. Tersentuh sana-sini berkenaan agama dan kepercayaan kepada tuhan masing-masing. Yang mana segala perkara yang tidak sepatutnya timbul. Dan dua persengketakan telah menjadi satu hal yang sangat merosakkan. Serta merugikan.  Sebaliknya kerugian itu terpukul kepada diri kita sendiri. Dan berkait-kaitanlah perkara yang satu itu kepada dua, kepada tiga. Dan dari sekecil-kecil hal sampailah kepada sebesar-besar isu. Tidak adalah mendatangkan menafaat melainkan kemudharatan. Sama sekali tidak ada kebaikannya. Melainkan kepada serigala-serigala lapar yang berada diantara kedua pihak ini.

Serigala yang tidak memandang sama sekali kepada kehidupan selain dari kehidupan dunia ini. Dan sesungguhnya mereka itu sesat yang nyata. Dan tidak berpaling kepada peringatan-peringatan selain dari haloba dunia semata. Dan memandang agama itu dari sudut logik akal-akalnya sahaja. Tidak berpegang dia dengan tali-tali kebenaran yang hanya dapat dilihat dengan jelas dari hati-hati yang diterangai hidayah dan tidak riak. Maka inikah perilaku contoh yang hendak kita jadikan sebahagian dari kaki tangan dan anggota jasmani dan rohani kita? Katakan tidak sama sekali. Biarkan mereka bergendang mengikut rentak alunan yang mereka sukai. Jangan kita sesekali menari-nari kerana rentaknya. Biarkan mereka menghujankan kemanisan dari janji-janji dusta itu. Jangan sama sekali juga kita menjilatnya. Dan sesungguhnya tipu daya itu sangatlah halus dan terancang. Dan perbuatan-perbuatan keji mereka itu dihiasi dengan pemandangan yang sangat indah pada halwa nafsu. Maka nescaya lenalah pada yang tidak teguh pegangannya.

Dapatkah kita menentangnya jika sekelian dari halaman yang sama ini bersengketa sesama sendiri?