Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)
Bakti untuk ibu bapa selepas mereka meninggal dunia
SOALAN: Saya sangat mencintai ibu bapa saya. Ibu telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu, kemudian bapa saya pula meninggal dunia. Saya sangat mencintai. Bolehkah saya sedekahkan pahala bacaan al-Quran, Yasin dan tahlil kepada mereka? Selain itu, apa lagi amalan yang patut saya lakukan? Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas jawapan yang berbahagia ustaz. - ROHANA ABDULLAH, Kuala Lumpur.
JAWAPAN: Saya doakan semoga Allah merahmati ibu bapa puan dan menempatkan mereka dalam syurga bersama nabi-nabi dan orang-orang soleh yang dikasihi Allah. Bersabarlah atas pemergian mereka. Kita milik Allah s.w.t. dan kita semua akan kembali kepada-Nya.
Sebelum menjawab soalan puan tentang hukum menghadiahkan pahala bacaan al-Quran, Yasin, tahlil dan sebagainya, izinkan saya untuk menyatakan sesuatu sebagai mukadimah, iaitu Islam mengambil berat terhadap hubungan antara anak-anak dan ibu bapa. Anak-anak dikehendaki mengekalkan hubungan baik dengan ibu bapa sama ada ketika ibu bapa masih hidup atau setelah meninggal dunia.
Ketaatan kepada ibu bapa berada pada tempat kedua selepas mentaati Allah. Ayat 23 surah al-Isra' menyatakan firman-Nya yang bermaksud: Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.
Ayat yang mewajibkan ketaatan kepada ibu bapa selepas beribadat kepada Allah ini juga membayangkan peranan ibu bapa yang sangat besar. Mereka sebenarnya adalah pihak kedua bertanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak, memelihara dan melindungi kepentingan mereka selepas Allah sebagai pihak pertama yang mencipta dan mentakdirkan kewujudan manusia di alam dunia.
Justeru, tatkala Allah menyuruh manusia agar berterima kasih kepada Allah atas nikmat anugerah-Nya yang tidak terhingga, disuruhnya juga manusia berterima kasih kepada ibu bapa atas perlindungan dan kasih sayang mereka yang tidak boleh dijual beli. Firman Allah dalam surah Luqman, ayat 14 bermaksud: Bersyukurlah kepada Aku dan kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Ingatlah kepada Aku jua kamu akan kembali.
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Umamah al-Bahli, Rasulullah s.a.w menyatakan: Ibu bapa kamu adalah penentu sama ada kamu ke syurga atau ke neraka.
Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan lagi: Sesiapa yang ingin supaya usianya dilanjutkan hendaklah ia berbakti kepada ibu bapa dan menghubungi sanak saudara mereka.
Mesej dua hadis ini boleh disimpulkan sebagai berbakti kepada ibu bapa menjamin keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Ketika ibu bapa masih hidup, kita boleh berbakti dengan melakukan sesuatu yang mereka sukai seperti mengatur makan minum, bersimpati dengan hidup mereka yang semakin uzur, bertanya khabar, menyumbang sesuatu yang mereka perlukan, mencium tangan dan menyentuh badan terutama pada saat-saat mereka sudah tua, sakit dan tidak berupaya lagi. Ditakdirkan mereka kini telah meninggal dunia, bagaimana dan apa perkara sepatutnya dilakukan?
Bagi menjawabnya, sebuah hadis riwayat Abu Dawud menyatakan: ``Seorang lelaki dari Bani Salamah datang bertanya Nabi s.a.w: Apakah masih ada jalan untuk aku berbakti kepada ibu bapaku yang telah meninggal dunia.?
Sabda Nabi: Engkau boleh berbakti kepada mereka dengan berdoa, memohon keampunan dosa, menunaikan amanah yang mereka tinggalkan, menghubungi sanak saudara dan memuliakan kawan-kawan rapatnya.
Termasuk juga antara khidmat bakti yang boleh dilakukan sepeninggalan mereka seperti ziarahi kubur, membaca al-Quran, Yasin dan tahlil, memberi sedekah jariah dengan niat dihadiahkan pahalanya kepada mereka. Semua amalan ini disahkan oleh ulama sebagai berfaedah dan diharapkan sampai kepada pihak-pihak berkenaan yang telah meninggal dunia.
Sebaik-baiknya selepas kematian ibu bapa, bertanyalah terlebih dahulu sama ada mereka ada meninggalkan hutang yang belum dibayar atau semasa hidupnya ia mampu menunaikan haji tetapi ditangguhnya hingga ke akhir hayatnya. Jika masih ada hutang yang belum dibayar atau haji yang belum ditunaikan, maka selesaikan dahulu kewajipan ini. Amalan wajib mendahului amalan sunat. Anak-anak adalah orang pertama yang bertanggungjawab dengan kewajipan ini.
Sehubungan masalah sama ada pahala amal kebajikan boleh sampai atau tidak kepada orang yang telah meninggal dunia, saya kemukakan di sini fatwa seorang ulama terkenal Syaikh al-Syirbasi yang dikeluarkan tatkala menjawab soalan adakah sampai pahala ibadat seperti sembahyang, puasa dan lain-lain kepada orang yang telah meninggal dunia.
Jawapan beliau seperti berikut:
Sebahagian ulama berpendapat pahala hasil daripada ibadat seperti puasa, sembahyang, haji dan lain-lain yang dilakukan orang yang masih hidup diharapkan sampai kepada si mati sama ada dilakukan oleh keluarga yang terdekat atau bukan keluarga.
Ibn Taimiyyah menyatakan, si mati dapat mengambil faedah daripada bacaan al-Quran yang dihadiahkan pahala kepada mereka. Demikian juga dengan amal yang berupa harta seperti sedekah, amal jariah dan lain-lain.
Ibn al-Qayyim pula menegaskan, sebaik-baik amalan yang dilakukan kepada si mati ialah sedekah, memohon keampunan, berdoa dan mengerjakan haji bagi pihaknya. Adapun bacaan al-Quran, jika dibaca dengan ikhlas tanpa upahan, diharap semoga berfaedah juga kepada si mati. Jika dibaca dengan bayaran-bayaran tertentu, hukumnya haram dan bidaah sepatutnya ditinggalkan (Yasalunak fi al-Din, 1/423).
Dalam fatwanya, Syeikh `Atyyah Saqar pula menyatakan: Ada keterangan menunjukkan sunat membaca Yasin di sisi seseorang yang sedang nazak. Ulama mengambil faham, orang-orang yang telah meninggal dunia juga berfaedah daripada bacaan itu sama ada sebelum atau selepas dikebumikan.
Fatwa-fatwa yang dikeluarkan sekitar doa, bacaan al-Quran dan tahlil, nampaknya tidak ada perbezaan pendapat tentang baik dan harus diteruskan. Hanya sesetengah orang tidak suka amalan itu dicampur-adukkan dengan amalan bidaah dan khurafat seperti mengupah orang membaca al-quran, menentukan hari-hari tertentu untuk berbuat jamuan makan dan sebagainya.
Saya berpendapat, anak-anak yang ingin berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal harus menghadiahkan pahala membaca al-Quran, Yasin dan tahlil yang dibaca sendiri, kerana mereka tentunya lebih bersimpati dengan ibu bapa mereka berbanding orang lain.
Boleh juga dia mewakafkan sesuatu yang berbentuk amal jariah seperti membina masjid, mendirikan rumah anak yatim, sekolah-sekolah agama dan sebagainya, sama ada daripada peninggalan si mati atau harta peribadi setelah dipersetujui keluarga terdekat yang berhak menerima pesaka.
Anak-anak tidak wajar menyimpan dendam terhadap ibu bapa kononnya mereka pernah menzalimi, mendera anak-anak ketika masih kecil atau membiarkan hidup anak-anaknya melarat, tiada pengetahuan dan sebagainya, dan kini tiba pula giliran anak-anak untuk membalasnya. Islam mengajar, kalaupun semua ini benar-benar berlaku, anak-anak perlu memilih yang terbaik bagi diri dan masa hadapannya.
Anak-anak harus berfikir, pusingan roda hidup menunggu kedatangan pada pusingan-pusingan berikutnya. Jika hari ini kita berbakti kepada ibu bapa, harapan kita pada suatu masa yang terdekat anak-anak kita pula akan turut berbakti. Berdendam terhadap ibu bapa akan dibalas dengan dendam yang serupa oleh anak cucu yang bakal datang silih berganti.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Tabarani dan al-Hakim menyebutkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Berbaktilah kepada ibu bapa, anak-anak akan berbakti pula kepada kamu.”

0 comments :
Post a Comment