Malaysian Business Locations Directory

ONEXOX Peneraju Prabayar Kadar Jimat

Saturday, May 7, 2011

Selamat Menyambut harijadi yang ke 18 buat anak Papa.
I love you, yes I do. A lot, more then you can imagine.
Jaga diri. Sesungguhnya kejayaan manusia hanya dalam Agama Allah. :)
Warkah buat anakku.
Wahai anakku, aku ayahmu ingin berpesan. Janganlah engkau leka dengan dunia yang sangat mencabar ini. Janganlah engkau melihat Agama itu dari sudut yang mereka lihat. Yang mana mereka memudahkan sesetengah perkara yang diberatkan. Dan jangan pula engkau memandang ringan pada keinginan orang lain. Bukan aku memberatkan engkau supaya bersangka buruk. Tetapi aku tidak mahu engkau meringankan dalam perkara menjaga dirimu.
Aku adalah ayahmu dan aku sangat keras dalam perkara ini. Kalian adalah anak-anakku. Dan kalian mengetahui kemahuanku dan pendirianku. Aku tidak sehaluan dengan mereka yang berpandangan Agama ini sangat menyusahkan. Pandanganku jelas!! Yang Agama ini adalah Islam dan Islam itu sangat indah. Takwa dan tawakal itu berat bagi yang tidak meletakkan Allah itu di Maqam yang sepatutnya. Dan jangan engkau sekali-kali berserta dengan mereka yang tidak berserta denganku dalam perkara ini.
Aku melihat Agama itu suatu yang sangat penting. Dan aku hanya yakin kejayaan manusia ini hanya didalam Agama.
Ingatlah anak-anakku. Ilmu yang kalian tuntut bukanlah untuk soalan-soalan peperiksaan didunia ini. Tetapi ianya jawapan kepada soalan-soalan didalam kuburmu. Dan sesungguhnya aku ayahmu tidak menyediakan dunia bagimu. Kerana bagi orang-orang yang memiliki Agama didalam hidup mereka, dunia akan datang dengan sendirinya. Dan dalam hal ini mereka juga tidak sependapat denganku. Maka pilihlah kalian. Antara hidup yang kepenatan menghimpun dunia yang tidak pernah cukup ini atau ketenangan hidup yang sederhana didalam Agama Allah.
Janganlah engkau menjadi seperti orang-orang yang menjunjung dunia ini diatas kepala-kepala mereka. Sedang Agama itu mereka hanya gengam dengan sambil lewa. Dan apabila kepentingan dunia mereka terancam, mereka melepaskan Agama yang digenggam itu dan menyelamatkan dunia yang terjunjung diatas kepala. Wahai anakku, janganlah engkau menjadi seperti keldai-keldai ini.
Dalam mencari kesenangan dunia yang sementara ini, manusia sering terlupa dan tertinggalkan sesuatu yang penting di tengah-tengah perjalanan itu. Perasaan dan perhatian mereka yang menyayanginya sering terabai. Janganlah engkau mencari kesempurnaan dalam dunia ini, kerana ianya tidak mungkin sama sekali. Ucapkanlah terima kasih kepada yang memberi, maafkanlah pada yang bersalah. Dan ringankanlah pada yang susah. Sesungguhnya manusia yang paling baik diantara kamu itu ialah yang paling banyak memberi menafaat kepada orang lain. Aku, engkau, dia dan mereka, atau siapa saja. Mungkin pernah terluka, mungkin pernah kecewa. Namun janganlah berputus asa dengan kebahagiaan. Dan kebahagiaan itu juga bukanlah datang dengan satu rupa. Kadang-kadang ianya berupa airmata, kadang-kadang ia berupa gelak tawa. Kadang-kadang ianya datang dengan sedikit kesakitan dan kepedihan. Maka bersabarlah. Dan semoga Allah menambah kebaikan kepada kita semua."
Selamat Menyambut harijadi yang ke 18 buat anak Papa. I love you, yes I do. Alot, more then you can imagine. Jaga diri. Sesungguhnya kejayaan manusia hanya dalam Agama Allah. :)

Posted on Saturday, May 07, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Thursday, April 14, 2011

Dalam menjalani kehidupan, hari  berganti dan terus pergi,  emosi silih berganti, yang muda menjadi tua, yang baru menjadi lama. Tidak ada manusia yang tersangkut pada satu keadaan dan tidak berganjak darinya.... pasti ia pergi. Sama ada individu itu yang meninggalkan waktu tersebut(keadaan, situasi, sahabat handai, saudara, kerjaya atau apa saja). Atau mereka yang bakal meninggalkan dia.
Hidup ini sebuah pertemuan, pencarian dan sebuah perpisahan(kematian). Itu pasti.. dan kalau tanyakan sama saya, bisa bikin apa dengan keadaan itu.. maka jawabnya:
"Bibir yang pecah dan merekah kekeringan ini aku usahakan kuntum-kuntum senyuman. Hati yang geram dan tersiat sembilu ini juga aku usahakan taman didalamnya. Dan pelukan ini aku hangat dan panaskan dengan belas dan kesabaran. Namun ianya sangat terbatas. Sedang batas-batasnya semakin hari semakin tenggelam oleh tengkujuh yang sedang mengila. Jika aku sendiri tidak terelak dari keparahan ini. Apa , masih ada lagikah yang lebih perkasa? atau mereka juga telah lama mati dalam pertempuran itu?
Wahai Tuhan, aku bertanya kepadaMu. Adakah aku akan mati dalam keadaan ini? Aku tidak tahu mana satukah yang lebih baik darinya. Mendapat jawapan kepada pertanyaanku? Sedangkan aku sedar yang aku tidak akan terdaya menanggung kebenarannya. Atau, biarkan saja ianya menjadi pertanyaanku sehingga sampai waktu yang ditentukan itu? Atau..adakah aku akan mati dalam keadaan ini?"
Dan adakan aku dan kita semua hanya menanti kedatangan jemputan kembali kesisi Tuhan itu dengan mendiamkan diri sahaja? Jika hanyut kehidupan ini, maka biarlah ianya terus hanyut? Sedangkan binatang-binatang melata itu sekalipun ada ikhtiar dan usaha kearah sesuatu(hanya saja mereka itu hanya tahu makan, pokoknya usaha). Redha dengan kehidupan sia-sia itu adalah redha yang sesat dan merugikan. Sedangkan kehidupan ini harus berlandaskan sesuatu.
Dan kehidupan ini perlu dibina atas sebuah landasan yang lebih bermakna dari sebuah kebetulan. Hidup perlu berlandaskan sebuah kasih sayang dan cinta. Perlu ada rasa sanggup melakukan sesuatu untuk seseorang, dan perlu ada rasa sanggup berkorban apa saja demi rasa cinta tersebut.
Dan dakwah kepada Allah itu adalah bukti sesungguhnya kamu mempunyai sifat kasih sayang dan perlakuan kepada rasa cintamu yang murni dan suci. Dan untuk tujuan ini tidak memerlukan status yang tertentu, waktu yang tertentu, atau kos-kos berbentuk ringgit dan dolar yang tertentu.
Hanya sedikit rasa keinsafan dalam diri kita untuk  berubah kearah kehidupan yang lebih baik dan bermutu(mengikut spesifikasi Islam).

Posted on Thursday, April 14, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Saturday, April 9, 2011

Assalamualaikum Mak
Mak. Selamat harijadi buat Mak. Mak, ampunkan Anak Mak diatas segala kesalahan Anak pada Mak. Tidak pernah ada kekurangan Mak sebagai Ibu kepada kami.Malah permintaan Mak sebagai seorang Ibu kepada kami juga sangatlah sedikit.Namun lewat juga kami menyempurnakannya. Malah ada yang sedikit itu juga masih jauh dari hampir memenuhinya.

Mak,
Ampunkan anak Mak. Anak pernah berdosa dengan Mak. Pernah dulu Anak bertanya pada Mak, “antara anak-anak Mak semua, yang manakah yang paling Mak sayang?”

Mak, ampunkan Anak sebab buat Mak rasa seba salah. Dan tidak mampu untuk jawab soalan Anak. Bila Anak sudah punya anak-anak sendiri, dan mereka tanya pada Anak. “Siapakah diantara mereka yang Anak paling sayang.” Anak tak dapat jawab pertanyaan mereka. Malah lebih jauh daripada itu, hati Anak merasa sakit bila membayangkan Anak mengasihi seorang diantara mereka lebih dari yang lain.

Dan sekarang anak mengerti apa yang dikatakan. “Kasih sayang Ibu Bapa kepada anak-anak mereka adalah sama”Seperti anak telah memahami perbezaan antara. “Adil dan saksama = Adil dan samarata”.

Mak,
Ampunkan anak Mak. Kerana selama ini, Anak selalu mendesak Mak supaya menyukai apa yang Anak suka, menyayangi apa yang Anak sayang. Mencintai sesiapa yang Anak cintai. Sedangkan Anak tidak pernah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyukai apa yang Mak suka, menyayangi apa yang Mak sayang dan mencintai sesiapa yang Mak cintai.

Walaupun Anak selalu berlaku tidak adil pada Mak, Mak tetap juga memberi lebih dari apa yang Mak dapat dari Anak.

“Yaa Allah, jadikan aku terdaya. Agar aku bisa khidmat kepada Ibu Bapaku. Yaa Allah jadikan aku lapang. Agar aku tidak membelakangkan permintaan Ibu Bapaku disaat aku terburu keperluanku.
Yaa Allah, masukkan aku ke SyurgaMU, agar aku berhak merayu supaya Ibu dan Bapaku ditempatkan bersama-samaku.
Yaa Allah, Jadikanlah aku diantara orang-orang yang layak memberi syafa’at. Agar aku dapat mensyafa’ati Ibu Bapaku.
Demi Engkau yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani. Kasihanilah Ibu Bapaku, seperti mereka mengasihani aku. Amin”

Mak.
Mak adalah Ibu terbaik.

Dari Anak, “SELAMAT HARIJADI BUAT BONDA TERCINTA

Posted on Saturday, April 09, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Friday, April 1, 2011

Engkau lebih dari sekadar seorang adik
dan kita lebih dari sekadar saudara kandung
“Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun. Sesungguhnya segala puji-pujian itu haq Allah. Segala kebesaran dan Kemuliaan baik yang dibumi atau dilangit hanyalah  kepunyaan Allah.

Selawat serta salam buat Nabi Junjungan , Muhammad saw. Keluarga serta sahabat-sahabat  Baginda. Sesungguhnya Engkau WAHAI Tuhan yang Esa, tidak memungkiri  JanjiMU. Tempatkanlah Baginda  saw. ditempat yang terpuji seperti yang telah Engkau janjikan.

Yaa Rahman , yaa Rohim. Hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran adindaku. Aku mohon kepada Engkau, cukupkanlah keatas adikku ini. Berupa usia yang berkat, ilmu yang haq, isteri yang taat, anak-anak yang soleh dan solehah, harta yang bersih. Dan sesungguhnya Engkau Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Wahai Allah, adikku adalah anak yang santun terhadap Ibu  Bapanya, maka aku mohon kepadaMU, Engkau kurniakanlah ia dengan kurnia yang banyak, berupa keteduhan ditempat yang tidak ada peneduh(mahsyar), berupa kelapangan  ditempat yang tidak ada kelapangan(kubur).

Dan sesungguhnya ia juga adalah saudara yang mempermudahkan saudaranya. Demi Ketinggian ZatMU yaa Allah. Engkau permudahkanlah segala keperluannya didunia. Dan Engkau permudahkanlah soal kubur dan hisab baginya.

Wahai Zat yang Maha Agong. Sesungguhnya adindaku adalah seorang musuh yang pemaaf kepada musuhnya. Maka aku mohon kepadaMU, Engkau murahkanlah kemaafan dan keampunanMU terhadap kesalahan-kesalahannya. 

Wahai Allah, segala rupa kesyukuran aku panjatkan kepadaMU, demi kurnia ini. Dengan melahirkan dia sebagai saudara kandungku. Maka demi Engkau yang Maha Pengasih. Saudarakanlah kami dimahsyar kelak seperti Engkau saudarakan kami didunia ini. 

Dan jika Engkau panjangkan umur kami, maka jadikanlah lengan-lengan kami akan tiang-tiang AgamaMU. Demi Engkau wahai Allah. Pilihlah aku untuk syahid kejalanMU. Dan jika ada bahagianKU disisiMU, aku mohon yaa ALLAH, SERTAKANLAH SAUDARA-SAUDARAKU BERSAMAKU. Amin” 

Dee, selamat harijadi dari Long. Saja Long nak jadi orang terakhir yang bagi wish untuk Dee tahun ni.

Posted on Friday, April 01, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Tuesday, March 15, 2011

Engkau lebih dari sekadar  seorang adik 
dan kita lebih dari sekadar saudara kandung

Hari ini adalah 15 March 2011.
Hari ni adalah hari jadi Ngoh.
Hari ni Long hampir luper lagi. 
Dan sebelum ucapkan selamat harijadi, ada beribu-ribu perkataan yang aku nak ucapkan pada adik Long sorang ni.
Tapi Long tak mampu nak cakap. Sebab Long Waja Timur, maklumlah, panglima perang mana cakap bender-bender sentimental ni. Huhuhu.
Apa abang orang lain sama macam Long ker?
Long nak tunjukkan pada Ngoh apa yang baik dan apa yang buruk dalam hidup ini.  Tapi sayangnya Long sendiri masih tak tahu banyak mengenainya.
Long nak bagitahu Ngoh “Jangan melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali, sebab nanti kita tidak jumpa jalan untuk berpatah balik”
Tapi Long sendiri melakukan kesilapan yang sama juga berulang-ulang kali.
Kalau Long cakap juga, Ngoh nak dengar ker?
Ngoh, Long nak bagi tahu Ngoh, yang hidup ini indah dan menarik.
Tapi Long  tak nak tipu Ngoh, yang hakikat hidup ini sebenarnya sangat kejam dan kasar.
Long nak bagi tahu Ngoh juga, yang kejayaan bermula apabila seseorang itu belajar menghargai peluang. Tapi Long pula sering mengsia-siakannya.
Dan kalau Long cakap semua ni pada Ngoh, Ngoh nak percaya ker?
Long nak bagi tahu Ngoh mengenai rama-rama yang cantik.Dan hidup ini seperti rama-rama.Jika kita genggam ia dengan terlalu kuat akan carik kepaknya, akan mati dia.Tapi kalau kita lepaskan dia terbang. Dia akan hilang arah ditiup badai yang kencang.Dan hidup ini sememangnya seperti rama-rama.Indah dan menarik tetapi singkat.
Hidup ini umpama air yg mengalir, tdk mungkin ia bisa mudik semula kehulu. Dan apabila ia terlalu deras, ia hanya mendatangkan malapetaka, dan menghanyutkan segala yg dilaluannya, namun jika ianya terlalu perlahan, maka dasar dan tebing2nya akan berlumut dan berlumpur pula. Maka berpada2lah dalam setiap langkah itu.
Long juga hendak bagitahu semua tu pada Ngoh, tapi Long takut Ngoh tak moo dengar.Long takut Ngoh bosan.Long takut Ngoh kata aku suka membebel.Sebab Long pernah sambut harijadi yang ke35, pada suatu masa dulu.Cuma waktu itu Long tak punya abang untuk bagi tahu Long semua ini.
Ngoh, banyak yang Ngoh  tahu tentang  Long.Dan bukan sedikit juga yang Long tahu tentang Ngoh.Tapi dalam semua perkara yang Long tahu. Cuma satu perkara yang Long pasti, Ngoh sayang Long.Dan Ngoh tentu maafkan Long kerana hampir lupa lagi hari jadi Ngoh.
Dan Long juga nak Ngoh tahu, yang Long sangat sayang adik-adik Long.Cuma Long tak pandai nak tunjuk.
Ngoh, selamat harijadi yang ke 35. Jangan takut dengan usia yang bertambah, kerana manusia menjadi tambah berkualiti bila ia melalui pengalaman hidup yg banyak. Sebenarnya Long sungguh-sungguh nak cakap tu... Tapi Long sendiri tk dapat lari dari ketakutan tersebut.
Dan aku bahagia ada adik macam kamu.

Posted on Tuesday, March 15, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Monday, March 14, 2011

Cerita pasal DOTA lagi. 12/03/2011 bersamaan dengan hari sabtu malam minggu lepas. Telah berlansung perlawanan persahabatan diantara SPnet Team A,B,C dan Adini Team A,B,C(campuran Team A dan B) serta turut dimeriahkan dengan kehadiran IBA Team.
Program tak sepenuhnya lawan Dota jer. Ada makan-makan sikit. Ada buat BBQ.
Disini AbgLong ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas kekurangan yang terdapat dipihak penganjur. Baik dari segi penyedian makanan atau sewaktu game. Terlalu sempit ruang masa untuk pengaturan. Program dirancang hanya dalam masa 5 hari. Tidak ada perancangan yang teliti. Dan semua sedia maklum juga kemampuan PC di SPnet. Bagi yang dah biasa denagn PC lag, org kata(alah bisa tagal biasa). Bagi yang tak biasa, alamat kena stun jerlah memanjang. Tak pun mati kat tower.
Pada awal perancangan, ada majlis suai kenal diantara SPnet Team dan Adini Team. Namun oleh kerana SPnet Team sendiri tidak organize, 3 orang ada, 2 orang hilang, datang lagi 3 orang, yang 3 orang tadi pulak yang hilang. Sangat tidak disiplin. Hahahahaha. Jadi tak dapat nak buat acara suai kenal antara satu sama lain. (Objektif asal= Mengeratkan hubungan silaturahim, nampaknya hanya tercapai 45% sahaja barangkali)
Kerana ada diantara mereka yang datang, hanya untuk bermain, bersalam dengan tetamu-tetamu undangan pun tidak. Tak payah abgLong cakap itu siapa, ini hanya sekadar teguran. Ingat: “DOTA IS NOT JUST A GAME” . Kalau sekadar datang nak game, “it’s better u all just login to gg. It’s fun to play, nvm 2 bully n it’s ok to b rude!”
Sebenarnya aku suka menganjurkan majlis-majlis silaturahim macam ni. Tidak perduli bersandarkan apa. Game, makan-makan, apa saja. Pokoknya majlis silaturahim. Jangan salah mengerti kecenderungan aku. Bukan DOta jadi tajuk utama. DOta hanya sekadar aset dan sandaran untuk dijadikan alasan untuk mengumpulkan kalian. Supaya kalian dapat mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dan bersilaturahim.
Aku tidak ingin melihat atau ambil tahu bertapa pro korang main. Bertapa expert korang ‘last hit’, bertapa terer korang kill,ks,gb. Nvm at all. Yang penting kita kenal kawan baru. Kita mesra kawan lama. Dan kita dapat berlajar apa itu silaturahim. Apa itu hormat, rendah diri, besar hati, tolak ansur. Dan supaya kita dapat belajar apa itu ikhlas. “DOTA IS NOT JUST A GAME”
Namun, pada keseluruhannya. Korang sporting. Dan rasanya patut juga AbgLong tulis kat sini. Malam tu semua orang tidak mencarut dan menyumpah-nyumpah. Satu keanehan yang positif dalam DOta. Aik? Excellent attitude!!! Err kerr terlalu tertekan untuk menang? Atau mungkin kita patut gamaknyer latih diri untuk tidak mencarut-carut ni? Bukan aper, buruk sangat tengok orang lawa-lawa, smart-smart, muka bersih ‘jambu’ jer. Sekali , kejap-kejap C&^ai!! Kejap, F**K, B*bi, WTF dan sebagainya.
Kenapa? Tak suka abgLong tegur? Anggap saja aku orang tua yang dah tak relivent dengan bahasa orang muda sekarang. Tapi yang jadi masalahnya, perkataan-perkataan ni hanya keluar masa main DOta. Sedangkan sehari-harian kita tak guna pun bahasa tu. Jadi? Patut kita tinggalkan jer lah. Sekadar nak ‘membakor’ =(noob, supernoob, u better leave la..) rasanya tak jadi masalah. Ingat “DOTA IS NOT JUST A GAME”
Kat sini aku Cuma letak sekeping jer gambar pada malam tu. Boleh tengok gambar-gambar pada malam tersebut di facebook. Link : http://www.facebook.com/album.php?id=1275974253&aid=116523
Selebihnya, sempat bincang dengan Along Fendi (Adini Team) Nampaknya, insyaAllah bulan april ni jadi kot tournament di Nilai.
*Note: Terima kasih kepada penaja dan penyumbang pada malam tersebut. Tidak kira dalam bentuk material, kewangan atau tenaga serta masa. Pengorbanan anda semua sangat-sangat dipandang tinggi (nama-nama dirahsiakan oleh pihak editor untuk menjaga amalan mereka).

Posted on Monday, March 14, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Friday, March 11, 2011

Manalah ultraman n power ranger n doreamon dlm saat2 genting tsunami di jepun....[Twitter=Fizz Fairuz]
Ini apa punya jenis lawak? Biadap dan tidak punya kasih sayang dan keperihatinan punya manusia!!! Ini jenisnyer nk dijadikan idola?Maaf, aku tak mampu(ilang kesabaran) untuk mengulas dengan lebih panjang lebar tentang sikap manusia yang macam ni.


Published on 12 March 2011

Posted on Friday, March 11, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Malaysian Business Locations Directory