Ada yang bertanya kepadaku,

“kenapakah engkau terusan menyebarkan ini? Menyebarkan link-link tulisan-tulisan keagamaan ini? Adakah engkau tidak jemu? Atau engkau tidak punya kerja lain kah?”

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Wahai saudara-saudaraku. Sungguh benar aku mencintai kalian. Pada perkiraanku kasih sayang itu perlulah dilahirkan melalui kata-kata dan perbuatan. Dan kasih sayang yang sebenar-benarnya adalah kasih sayang kerana Allah. Yang tidak berlandaskan apa-apa alasan duniawi(kepentingan diri sendiri).

“Tiada beriman seorang dari kamu sehingga dia mencintai segala sesuatu bagi saudaranya sebagaimana yang dia cintai bagi dirinya.” (HR. Bukhari)

Dan aku melatih diri untuk menyukai yang baik-baik buat diriku. Sedang dalam latihan ini aku juga berusaha menjadikannya satu objektif dalam hidupku. Mencari-cari ruang yang sempit untuk diperluaskan. Menilai semua keburukan dan memperbaikinya. Dan aku melihat ianya tidak mampu dilakukan secara bersendirian.

Seorang sahabatku pernah berkata kepadaku. “Nasihat baik yang kita katakan kepada orang lain itu umpama sebiji bola yang dilemparkan kedinding batu, nescaya ianya akan terpantul kepada orang yang melemparkannya semula”. Semakin banyak bola yang  dilemparkan semakin keraplah orang yang melemparkan itu terkena bola itu semula. Dan beginilah juga  jika keadaan ini di samakan dengan nasihat yang diusahakan kepada orang lain itu. Nescaya nasihat itu akan memberi kesan kepada dirinya sendiri. Dan ini lebih kepada harap akan perlaksanaan Allah itu, semoga demikianlah hendaknya. Atau ada diantara kalian yang tidak mengerti bahasa aku? Maka terjemahkanlah ikut  bahasa yang paling mudah untuk kalian sendiri fahami.

Jika engkau tidak memahami  apa yang aku cari dalam hidupku,  aku juga tidak memahami  apakah maksud ‘pencarian’ yang engkau persoalkan itu. Maka ketahuilah, sesungguhnya aku adalah  seorang insan yang sedang belajar mensyukuri setiap kesempatan, kelebihan, keutamaan dan rahmat serta niqmat Allah kepadaku. Dan aku mengusahakan agar semua orang yang hampir kepadaku agar bersikap demikian.

Seorang diri yang bermuhasabah pasti dapat melihat(kesilapan, walau sedikit) walaupun dia tidak sengaja melakukannya. Dan menyedari diri itu adalah manusia biasa yang tertakluk kepada takdir Allah. Serta hidup dan matinya hanyalah Allah yang mengetahui kesudahannya. Dan ini membuahkan risau yang teramat sangat.

Dan aku tidak ingin memilih kesukaanmu jika harganya adalah membiarkan engkau terusan merasa 'benar'. Sedang engkau telah jauh dari 'kehalusan' yang engkau pernah usahakan. Lantaran dari itu, aku lebih memilih kejengkelanmumu, tetapi akan tetap melahirkan teguranku. Kerana aku menyayangimu, dan aku melihat potensi yang sangat tinggi dalam diri kita semua demi da'wah. Namun seperti yang telah aku katakan. “Kita tidak mungkin melakukannya secara bersendirian”

Untuk mengajak diri sendiri dan mereka kepada Allah. Hampir kepada amalan-amalan Rasulullah dan melihat kehidupan ini dari sudut pandangan Sahabat-Sahabat Baginda. Tidak semistinya nanti penuh ilmu didada. Jika sampai kapan-kapan juga ilmu itu tidak bisa penuh dan cukup. Adakah sehingga akhirnya kita akan melewatkan usaha da’wah ini?

Atau kita menanti alasan yang pada kiranya kukuh untuk kita melakukan yang demikian?

Lihatlah sekeliling kita. Anak dan isteri kita. Atau suami dan saudara mara terdekat kita. Atau sahaja sahabat-sahabat handai kita. Adakah mereka mengamalkan Agama didalam kehidupan mereka. Dan diri kita sendiri. Adakah kita melihat Agama itu satu tingkat yang melebihi ketinggiannya dari apa saja dalam kehidupan kita? Ataukah kita dan mereka semua ini meletakkan Agama itu sebagai sesuatu yang boleh ditangguhkan, dan merasa selesa kita-kita ini dengan penangguhan tersebut?

Aku sangat tertarik pada satu tulisan yang pernah aku baca. Dan aku telah lupa siapa yang menulisnya. Katanya. “Zaman ini tidak kurang ilmu Agama yang telah dipelajari manusia. Tetapi apa yang kurangnya adalah tarbiah. Lantas ilmu tersebut kurang kesannya. Dan kefahaman mengenai sesuatu itu tidak seperti yang telah difahami oleh umat yang terdahulu.”

Dan melihatkan fenomena ini, jangan kita sangkakan dengan sangkaan-sangkaan yang sambil lewa. Merasakan tidak mengapa dan biasa-biasa saja hidup ini bergini keadaannya. Malah kehidupan yang melalaikan itu dilihat lumrah, dan lantas terkeluarlah perkataan-perkataan seperti. “Zaman sekarang dah tak sama dengan zaman dahulu.”

Sebenarnya tidak ada bezanya zaman sekarang ini dengan zaman dahulu. Dan manusia itu dari segi rohaniah dan jamaniahnya tidak mengalami sebarang evolusi pun. Manusia tetap lahir dengan tuntutan nafsu yang sama saratnya kepada dunia ini. Sejak zaman Adam a.s sehinggalah ke akhir zaman ini. Hanya diperiod-period terbaik yang pernah lahir dalam sejarah umat manusia. Mereka-mereka itu memahami tuntutan kehidupan ini secara jelas. Diantara tujuan dan keperluan. Dan tidak meletakkan sama sekali keperluan hidup itu sebagai satu perjuangan yang menyamai tujuan hidup.

“Dan sesungguhnya maksud hidup itu adalah menyediakan bekalan selepas kematian. Sesungguhnya aku telah lalai dalam usaha menghimpun bekalan-bekalanku. Dan aku bakal berjalan dijalan yang sangat panjang itu, yang tiada penghujungnya. Dengan simpanan yang hampir tiada aku usahakan. Maka kepada siapakah akan aku adukan nasibku pada hari tiada manusia yang peduli kepada orang lain lagi? Dan apakah aku kuat menanggungnya? Jika telah mengetahui yang demikian, adakah masih aku redha dengan kelalaian ini. Adakah hati ini masih lagi lega dan suka?”

“Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." [ As-Sajdah:12]

Dan sesungguhnya benarlah. Pada ketika itu manusia itu akan merayu-rayu dengan rayuan yang paling menyayatkan hati. Dengan penyesalan yang tidak pernah dapat dibandingkan dengan segala penyesalan sekelian makhluk. Tetapi masih bergunakah penyesalan itu pada hari itu? Sesungguhnya penyesalan dan taubat itu bermenafaat pada hari ini. Dan sesungguhnya Allah menganjari pahala kepada yang menyesal dan taubat. Tetapi semua itu bermenafaat andainya kita segerakan ketika hayat masih lagi dikandung oleh badan. Tetapi jika terus-terusan kita menangguhkannya?

Demi Allah. Wahai diri yang lalai, wahai saudara yang aku cintai. Kita tidak mungkin sama sekali mempunyai kekuatan untuk menanggung segala azap dan siksaan Allah. Maka takutlah akan kedatangan hari yang tempat berpijak kaki-kaki ini adalah tembaga yang cair itu. Yang padangnya tidak ditumbuhi hatta sehelai rumput yang hijau, apatah lagi pohon yang meneduhkan.

Yang pada hari itu juga terdapat kisah yang indah untuk dihebahkan. Cerita-cerita yang membuatkan hati-hati yang terang dan mendapat hidayah Allah merasa cemburu. Yakni kisah berkenaan mereka-mereka yang berdiri di atas mimbar-mimbar nur. Yang wajahnya bercahaya-cahaya, sehingga mereka yang melihatnya berkata. “Siapakah mereka? Nabi manakah itu?” adakah hati-hati kita tidak terjeruk rindu akan keadaan itu? Atau hati-hati ini tidak merasakan kecintaan pada yang demikian? Tidak sedikitkah? Atau tidak percaya? Atau merasa ianya terlalu jauh? Dan hidup didunia ini dirasakan terlalu panjang?

Engkau telah menghabiskan puluhan tahun menjalani kehidupanmu. Adakah kamu merasa penat mengenangkannya semula? malah masa yang berpuluh tahun yang telah dilalui itu tidak sedikit  pun  dirasakan panjang. Dan apabila dikenang-kenangkan. Kita hanya memerlukan beberapa detik dan saat sahaja untuk menyusur semula kebelakang hidup ini. Dan beginilah keadaannya dengan baki kehidupan kita itu. Juga tidak akan membuatkan kita merasa panjang sehingga keletihan menghabiskannya. Sedang apa bila kita tersadar dari kelekaan ini, waktunya telah tiba. Dan Izrael telah berada disamping kita menjemput pulang kepada Allah.

Dan bertanyalah kepada diri kita sendiri sekarang ini. Adakah mahu dijemput dengan segala kemurkaan Allah, atau dijemput bersama kasih sayang dan rahmat Allah.

Benar, aku ingin menakut-nakutkan diri yang telah sedia takut. Agar kita bisa melipat gandakan usaha kita kepada kebaikan. Dan benar juga aku  ingin menambahkan kerisauan kedalam hati yang telah sedia risau, agar kita dapat mengurangkan ketawa dan menyegerakan taubat. Kerana sesungguhnya orang-orang yang beruntung adalah orang-orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan. Dan orang-orang yang bijak pula adalah orang-orang yang tidak melengahkan taubat kepada Allah.

Dari itu janganlah orang merasa hairan. Kerana akan tiba kepada kita saat yang lebih menghairankan. Yaitu saat dan masa yang mana manusia tidak sempat untuk berasa hairan dengan kejadian-kejadian yang menghairankan yang berlaku didepan mata mereka , iaitu hari bertemu dengan Tuhannya. Apa yang ada ketika itu adalah malu yang amat sangat, ketakutan yang tidak ada tandingannya dan kerisauan yang tidak ada penghujunnya.

“Yaa Allah, sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau yang layak disembah. Dan Muhammad itu sesungguhnya RasulMu. Yaa Tuhanku, tiadalah senang hatiku selagi Engkau tidak Redha kepadaku. Tiadalah aku lena selagi masih tidak mengetahui nasib Ibu Bapaku. Dan tidak bakal berkurang kebimbanganku ini bila mengenangkan saudara-saudaraku. Kasihanilah kami yaa Allah. Dan ampunkanlah kami. Serta Engkau tetapkanlah kami dalan HidayahMu. Serta tambahilah kami dengan KeredhaanMu. Amin”