Syeikh Abdul
Kadir semasa berusia 18 tahun meminta izin ibunya merantau ke Baghdad
untuk menuntut ilmu agama. Ibunya tidak menghalang cita-cita murni Abdul
Kadir meskipun keberatan melepaskan anaknya berjalan sendirian
beratus-ratus batu. Sebelum pergi ibunya berpesan supaya jangan berkata
bohong dalam apa jua keadaan. Ibunya membekalkan wang 40 dirham dan
dijahit di dalam pakaian Abdul Kadir. Selepas itu ibunya melepaskan
Abdul kadir pergi bersama-sama satu rombongan yang kebetulan hendak
menuju ke Baghdad. Dalam perjalanan, mereka telah diserang oleh 60 orang
penyamun. Habis harta kafilah dirampas tetapi penyamun tidak mengusik
Abdul Kadir kerana menyangka dia tidak mempunyai apa-apa. Salah seorang
perompak bertanya Abdul Kadir apa yang dia ada. Abdul Kadir menerangkan
dia ada wang 40 dirham di dalam pakaiannya.
Penyamun
itu hairan dan melaporkan kepada ketuanya. Pakaian Abdul Kadir dipotong
dan didapati ada wang sebagaimana yang diberitahu. Ketua penyamun
bertanya kenapa Abdul Kadir berkata benar walaupun diketahui wangnya
akan dirampas? Abdul Kadir menerangkan yang dia telah berjanji kepada
ibunya supaya tidak bercakap bohong walau apa pun yang berlaku. Apabila
mendengar dia bercakap begitu, ketua penyamun menangis dan menginsafi
kesalahannya.
Sedangkan
Abdul Kadir yang kecil tidak mengingkari kata-kata ibunya betapa dia
yang telah melanggar perintah Allah sepanjang hidupnya. Ketua penyamun
bersumpah tidak akan merompak lagi. Dia bertaubat di hadapan Abdul Kadir
diikuti oleh pengikut-pengikutnya.
Moral
& Iktibar Ilmu Agama perlu dituntut meskipun terpaksa berjalan
jauh. Kata-kata ibu menjadi pendorong dan perangsang dalam hidup.
Berkata benar adalah satu kekuatan yang boleh memberi keinsafan kepada
orang lain. Niat yang baik dan ikhlas mendapat keberkatan daripada
Allah.
0 comments :
Post a Comment