Pukul lapan malam tadi anak dara aku yang no dua ada call. Dek kerana aku tak kenal no publik kat asrama dia. Jadi dengan selamba jerlah aku jawab. “Yup ello! Saper nih?!” Adeh... kicik ati anak aku gamaknyer. Hehehehe sorry sayang. Papa tak pasan. Kebetulan pulak tengah layan lagu Nightwish. Kuat sikit pulak tur aku pasang. Jadinya tak cam suara dia.

“Papa sihat?”

“Sihat Alhamdulillah. Angah?”

“Angah sihat. Papa sibuk ker?”

“Tak..papa tak sibuk.”

“Sebenarnya angah nak bagi tau papa, esok angah start peksa.”

“Iyer kerr..? Okey selamat berjaya yerp?” Hisk rasa bersalah laa pulak aku. Boleh tak ingat aku yang dia nak start peksa esok. Dah lah untuk percubaan ari tur aku tak ucap tahniah pada dia sebab dapat pangkat 1 untuk percubaan SMU dia. Dan lebih menyedihkan ucapan tahniah dari aku tak juga sampai bila dia dapat pencapaian markah yang paling tinggi diantara calon-calon SMU disekolahnya. Nih aku lupa lagi.
Gambar Anak Aku Yang No 2

Gambar Anak Aku Yang No 2

Aku pernah kata pada seseorang, kononnya nak mengingatkan dia, tapi dalam waktu yang sama aku sendiri yang terlupa pada banyak perkara. Dan terlepas saat-saat emas itu.

[“Dalam mencari kesenangan dunia yang sementara ini, manusia sering terlupa dan tertinggalkan sesuatu yang penting di tengah-tengah perjalanan itu. Perasaan dan perhatian mereka yang menyayanginya sering terabai. Janganlah engkau mencari kesempurnaan dalam dunia ini, kerana ianya tidak mungkin sama sekali. Ucapkanlah terima kasih kepada yang memberi, maafkanlah pada yang bersalah. Dan ringankanlah pada yang susah. Sesungguhnya manusia yang paling baik diantara kamu itu ialah yang paling banyak memberi menafaat kepada orang lain. Aku, engkau, dia dan mereka, atau siapa saja. Mungkin pernah terluka, mungkin pernah kecewa. Namun janganlah berputus asa dengan kebahagiaan. Dan kebahagiaan itu juga bukanlah datang dengan satu rupa. Kadang-kadang ianya berupa airmata, kadang-kadang ia berupa gelak tawa. Kadang-kadang ianya datang dengan sedikit kesakitan dan kepedihan. Maka bersabarlah. Dan semoga Allah menambah kebaikan kepada kita semua.

Ada yang bertanya kepadaku “ untuk apa engkau merepek-repek ini wahai orang yang tidak aku kenal? “

Maka jawabku, "Salahkah aku hendak berkata yang baik-baik yakni memberi peringatan kepada diri aku sendiri? Dan aku memahami sesuatu, yang engkau itu adalah aku , dan aku ini adalah kamu."]

Dan ini pula kata-kataku dahulu.

[“Aku umpama kemarau yang rindukan tengkujuh. Dan bila tiba musimnya,  maka berakit-rakitlah dengan gembira diarusnya. Sangat berharga saat itu. Dan sangat berbaloi kepenatannya. Jika dipanjangkan umurku mengikut sukatan umat Muhammad SAW. Maka maknanya hanya tinggal separuhlah ia. Dan aku tidak sama sekali ingin ianya di penuhi dengan perselisihan dan dendam yang merugikan. Bukan pada golongan yang tertentu, tetapi kepada sesiapa sahaja. Aku ingin mengisinya dengan kasih sayang sahaja, tiada yang lain selain dari itu. Dan aku juga berusaha kearah itu dalam membentuk hatiku.

Hakikatnya, pergaduhan dan perselisihan dahulu itu lebih indah dari ketenangan secara bersendirian ini.

Tetapi sekali lagi waktu menjadi musuh. Tidak mungkin kita mengundurkan masa lalu.”]

Sungguh beruntung mereka yang tahu menghargai masa. Dan menfaatkannya untuk sesuatu yang baik. Dan berkongsi sama dengan orang lain. Tidak lokek pada kebahagiaan dan sabar dengan penderitaan. Tidak mengeluh-ngeluh pada ujian yang diturunkan. Dan aku kuatir aku tidak tergolong didalam golongan itu. Aku risaukan diri yang selalu lalai dengan warna-warna indah dunia.

Seperti aku pernah katakan. Dan ianya menjadi pegangan hidupku.
[“Aku tidak mencari kesilapan dan kelemahan orang lain, dan aku juga tidak mengumpul kejahatan mereka, jadi aku tidak berminat utk mencari dan melihat pada kejelekan itu. Yang aku cari dan aku lihat cuma kebaikannya sahaja . Dan itu lebih bermakna dari segalanya.”]
Dan demi Allah, itu benar. Bukan perkataan aku itu benar, tapi pengakuan aku itu benar. Dan aku berusaha kearah membentuk hatiku dan perlakuanku kearah itu. Namun aku juga manusia biasa. Yang lahir dihujung zaman yang kacau bilau. Selalu  saja  terlepas pada apa yang digengam. Sedang pada perkiraanku aku telah menggenggamnya dengan sangat erat.

Warkah buat anakku.

Wahai anakku, aku ayahmu ingin berpesan. Janganlah engkau leka dengan dunia yang sangat mencabar ini. Janganlah engkau melihat Agama itu dari sudut yang mereka lihat. Yang mana mereka memudahkan sesetengah perkara yang diberatkan. Dan jangan pula engkau memandang ringan pada keinginan orang lain. Bukan aku memberatkan engkau supaya bersangka buruk. Tetapi aku tidak mahu engkau meringankan dalam perkara menjaga dirimu.

Aku adalah ayahmu dan aku sangat keras dalam perkara ini. Kalian adalah anak-anakku. Dan kalian mengetahui kemahuanku dan pendirianku. Aku tidak sehaluan dengan mereka yang berpandangan Agama ini sangat menyusahkan. Pandanganku jelas!! Yang Agama ini adalah Islam dan Islam itu sangat indah. Takwa dan tawakal itu berat bagi yang tidak meletakkan Allah itu di Maqam yang sepatutnya. Dan jangan engkau sekali-kali berserta dengan mereka yang tidak berserta denganku dalam perkara ini.

Aku melihat Agama itu suatu yang sangat penting. Dan aku hanya yakin kejayaan manusia ini hanya didalam Agama.

Ingatlah anak-anakku. Ilmu yang kalian tuntut bukanlah untuk soalan-soalan peperiksaan didunia ini. Tetapi ianya jawapan kepada soalan-soalan didalam kuburmu. Dan sesungguhnya aku ayahmu tidak menyediakan dunia bagimu. Kerana bagi orang-orang yang memiliki Agama didalam hidup mereka, dunia akan datang dengan sendirinya. Dan dalam hal ini mereka juga tidak sependapat denganku. Maka pilihlah kalian. Antara hidup yang kepenatan menghimpun dunia yang tidak pernah cukup ini atau ketenangan hidup yang sederhana didalam Agama Allah.

Janganlah engkau menjadi seperti orang-orang yang menjunjung dunia ini diatas kepala-kepala mereka. Sedang Agama itu mereka hanya gengam dengan sambil lewa. Dan apabila kepentingan dunia mereka terancam, mereka melepaskan Agama yang digenggam itu dan menyelamatkan dunia yang terjunjung diatas kepala. Wahai anakku, janganlah engkau menjadi seperti keldai-keldai ini.

Yang Benar Aku Ayahmu