Malaysian Business Locations Directory

ONEXOX Peneraju Prabayar Kadar Jimat

Thursday, February 2, 2012

“Abang,.. abang, bangun sembahyang asar.”

Wah bukan main sedapnya tidur. Sampaikan sembahyang asar pun kena berkejut ni. Hehehe.
Sembang-sembang tempat tidur.

“Tadikan bang, ada Ani datang, dia jual produk (nama dirahsiakan). Dulu kesian dia, badan dia besar(gemuk gilerlah maksudnya tu). Tapi sekarang dah cantik, nampaklah susuk(potongan) badan dia.”

Aku yang tak berapa nak bukak lagi bijik mata ni terus rasa segar bugar. Dan aku jawab.
“aaaa…maksudnyer, abang tak faham.”

“Tak derlah, kalau dulu kesian dia, malu dan asyik pakai baju jubbah je. Sekarang bolehlah nak berpakai-pakaian sikit(berfesyen dan melaram-laram *ngikut definasi aku lerr ).” Aku diam tak der komen, lepas tu isteri aku sambung lagi. “Alhamdulillah-lah.”

Dan aku pun respon. “maksudnya?”

“Maksudnya apa pulak?”

“Yelah , ayang kata Alhamdulillah, Alhamdulillah untuk apa pulak daripada kejadian tu?”

“Ye, syukurlah, dulu kesian ke-dia”

Aku diam, diam bukan sebab nak cari ayat nak cakap apa. Tapi diam sebab nak cool down-kan sikit hati yang tengah panas. Lalu lepas tu aku jawab.
“Syukur apanya, kalau dulu dia gemuk dan potongan badan tak cantik, dia justeru menutup aurat. Pakai jubah dan baju-baju yang longgar. Tapi sekarang bila Allah bagi kurus, bagi cantik. Dia dedah aurat dengan berpakaian yang melihatkan potongan tubuh badan dia. Itu bukan rahmat itu musibah!!” Menyinga aku dibuatnya.

“Abang ni…,(sambil moncong), ayang belum habis cakap lagi abang dah naik angin.” Aku diam agak lama sikit. Lepas tu baru jawab dengan tenang.

“Abang sebenarnya rasa kecewa. Sentiasa abang menulis dan bercakap  berkenaan yang dikatakan fitnah-fitnah akhir zaman. (Macam mengkritik filem,rancangan tv dan ideology politik sekarang.) dengan harapan ayang dan anak-anak faham apa yang dikatakan fitnah-fitnah akhir zaman. Yang dikatakan kesan-kesan sampingan, kemudharatan-kemudharatan yang bakal berlaku jika kita lari dari kehendak Allah. Sentiasa juga abang memperkatakan hal berkenaan umat akhir zaman ni dah tak jelas mana yang buruk dan mana yang baik. Yang buruk nampak macam baik, dan yang baik nampak macam buruk. Dan ini adalah salah satu yang dikatakan fitnah-fitnah tersebut.

Apalah ertinya mendapat tubuh badan yang cantik, kalau selama ini dengan bertubuh  gemuk dia sentiasa kekal sebagai seorang perempuan yang menutup aurat dan kehormatannya. Tetapi tak sempat lama Allah bagi kecantikan tubuh badan pada dia. Dia dah berani memakai pakaian yang memperlihatkan potongan tubuh badannya.

Konsepnya mudah. Sesuatu yang berlaku keatas kita, walau pun zahirnya kelihatan baik, tetapi jika fenomena yang berlaku keatas kita itu menyebabkan kita menyimpang dari kehendak Allah dan RasulNya, maka itu adalah MUSIBAH.

Dan sesuatu yang kelihatan pada mata kasar adalah sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tetapi penzahiran dari fenomena tersebut adalah, kita mampu kekal dalam perintah  dan kehendak Allah. Maka itu adalah RAHMAT.

Dan dalam hal kawan Ayang tu, dulu dia gemuk, dan kerana gemuk tersebut membuatkan dia sentiasa memakai pakaian yang longgar dan tidak menampakkan susuk tubuhnya, tapi sekarang bila badan dah solid, dah cantik dah ramping, dia lansung memakai pakaian yang menampakkan susuk dan bentuk tubuhnya. Maka adalah jauh lebih baik dia kekal dalam keadaan gemuk, tetapi berada didalam rahmat Allah”

“abang ni itu pun nak marah.”

“Abang cuma risau bila memikirkan hadits Rasulullah SAW, yang maksudnya lebih kurang macam ni.” “Kalau tiba keadaan tersebut(ketika keluarnya dajal) maka ikatlah anak isterimu didalam rumah, walaupun mereka akhirnya mati kebuluran, itu lebih baik dari mereka mengikut dajal dan pengikut-pengikutnya”(aku tak ingat hadits ni aku dapat dari mana, dan aku juga tidak ingat isi mantannya secara keseluruhan. Tapi maksudnya lebih kurang bergitu. Kepada sesiapa yang tahu sila betul dan sempurnakan terima kasih)

Diam dan…

“Bang,..bangunlah , sembahyang asar.” Dan aku senyum bila dengar peringatan darinya. Kerana isterinya yang sentiasa mengingatkan suami mereka mengenai perintah Allah akan masuk syurga 1000 tahun mendahului suaminya yang masuk syurga tanpa hisab. Namun bab mudah sangat terpesong sikit-sikit tu, alah , biasalah, orang pompuan dengan kecantikan. Ibu-ibu Ustazah pun khilaf kalau bab yang satu ni.

Posted on Thursday, February 02, 2012 by wirajiwa Faintallah

No comments

Wednesday, January 18, 2012

Memperingati Tragedi Deir Yassin – 9 April 1948

Tarikh 9 April akan sentiasa terpahat di hati rakyat Palestin sebagai tragedi pilu yang masih dirasai sehingga kini. Meskipun tragedi dahsyat itu sudah berlalu 63 tahun yang lalu, ia tetap menghantui rakyat Palestin dan sesiapa sahaja yang punya rasa kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada dinihari sekitar 4.30 pagi Jumaat 9 April 1948, kumpulan pengganas zionis Haganah membariskan 33 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan. Hanya seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri. Terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya , beliau melihat sendiri bagaimana adek perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepalanya ditembak oleh pengganas-pengganas tersebut.

Itulah dia tragedi Deir Yassin yang akan kekal ditulis dengan tinta darah. Peristiwa yang amat dahsyat ini dilakukan oleh sekelompok manusia yang mendakwa mereka diseksa dengan kejam oleh Nazi di kem-kem Auswitch, Bergen-Belsen dan Dachau. Ternyata kezaliman dan tindakan yang tidak akan dilakukan oleh haiwan sekalipun membuktikan bahawa pendukong zionis hanya berselindung disebalik penderitaan mereka untuk melakukan perbuatan yang jauh lebih keji dari apa yang mereka alami. Peristiwa Deir Yassin menyaksikan bagaimana tahap kemanusiaan sudah jatuh ke tahap yang amat keji sehingga tidak mungkin dibayangkan oleh sesiapa yang masih waras akal fikirannya. Cukuplah apa yang didedahkan oleh beberapa orang yang terselamat kerana terlindung di sebalik tumpukan mayat dan timbunan batu dan kayu yang menyaksikan bagaimana wanita-wanita hamil dirodok perut mereka dan dikeluarkan janinnya.

Semua ke 25 orang ibu yang mengandung dipaksa melihat bagaimana bayi yang mereka kandung dikerat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kanak-kanak pula dipancung di hadapan ibu-ibu mereka. Seramai 52 orang kanak-kanak dibunuh secara kejam begini. Ternyata perbuatan amat biadap ini sengaja dirancang untuk menimbulkan ketakutan yang mencengkam di sanubari rakyat Palestin supaya mereka segera meninggalkan tanah air mereka demi keselamatan diri dan keluarga. Siri-siri pembunuhan beramai-ramai ini telah berlaku di banyak tempat sebelum Deir Yassin, namun sebagai umat yang bermaruah, rakyat Palestin sama-sekali tidak akan menyerah kalah. Mereka tetap bertahan dan mempertahankan kampong halaman mereka meski terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Zionis yang disokong oleh Bangsa-bangsa Bersatu, British dan negera-negara Eropah.

Bantuan kewangan dan senjata terus dinikmati oleh tiga kumpulan pengganas yahudi seperti Irgun, Haganah dan Stern gang. Menjelang November 1974 apabila pelan pemisahan (partition plan) dilaksanakan oleh PBB melalui resolusi 181, pengganas-pengganas yahudi sudah memiliki 16,000 senjata api ringan, 1000 mesin gun dan 750 mortas. Dengan pelbagai senjata ini mereka menceroboh kampong halaman rakyat Palestin di Qilqiya, Nablus, Akka, Tulkarem, Beersheba, Baisan, Haifa dan Yaffa. Kemuncaknya ialah pembunuhan yang berlaku di Dier Yassin pada 9 April 1948.

Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan oleh Irgun yang dipimpin oleh tak lain dan tak bukan Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doctor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tidak ada yang hidup dengan membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan di dalam sejarah iaitu dengan meniris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.

Menachem Begin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Israel dan dijulang sebagai pejuang kemanan dunia yang dianugerahkan hadial nobel untuk keamanan. Anugerah berprestij ini dikongsi bersama Anwar sadat hasil dari perjanjian damai Camp David pada tahun 1978 di antara Mesir dan Negara haram Israel. Satu perjanjian yang menyaksikan Anwar Sadat dihina di seluruh dunia dengan mengiktiraf Israel dan ditempelak oleh Menachem Begin dengan ucapan biadapnya ‘Selamat dating ke Jerusalem, ibu Negara abadi Israel’. Perjanjian inilah yang telah menggadaikan maruah umat Islam dan rakyat Mesir. Mesir yang sebelum itu merupakan satu-satunya Negara Arab yang mempunyai kekuatan yang standing dengan Israel bertukar menjadi kambing yang dikebirikan. Sejak tahun 1978 hingga tumbangnya Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011, Mesir diberikan kepercayaan penuh oleh Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan Israel sentiasa dipelihara.

Tragedi Deir Yassin adalah symbol berdirinya Negara haram Israel di atas darah rakyat Palestin yang tumpah membasahi bumi. Menachem Begin di dalam bukunya ‘The Revolt’ dengan bangganya mengatakan :

“Tanpa apa yang dilakukan di deir Yassin maka tidak akan wujud Negara Palestin. Dia menambah; ketika Haganah menjalankan beberapa operasi yang Berjaya di medan-medan lain…orang-orang Arab menyelamatkan diri mereka dengan disertai panic sambil menjerit ketakutan ‘Deir Yassin!’

 Menachem Begin dan semua pepimpin Israel yang dijulang sebagai negarawan dan pejuang keamanan dunia seperti Arial Sharon dan Shemon Peres adalah remaja-remaja bersenjata yang membunuh rakyat palestin tanpa sedikitpun merasa bersalah. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Arial Sharon adalah bukti jelas bahawa ‘modus operandi’ mereka tidak akan berubah. Inilah pendekatan yang masih digunakan oleh Israel di Gaza, Nablus, Ramallah, Jenin, Baitul maqdis dan al-Khalil bagi mengekalkan pendudukan, pengepungan dan penghinaan ke atas Masjid al-Aqsa. Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak punya harga dan mereka akan hapuskan seramai mana rakyat palestin yang diperlukan bagi memastikan Negara haram Israel terus kekal dan lestari.
Luka Deir Yassin masih berdarah meski sudah berlalu 63 tahun. Satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka yang amat pedih yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini ialah dengan berjuang untuk mengembalikan maruah saudara kita di Palestin.
WAHAI ORANG-ORANG YANG TIDUR, BANGUN!!

Artikel dipetik dari : http://menggapaihusnulkhotimah.blogspot.com/2011/04/memperingati-tragedi-deir-yassin-9.html

Published on 18 January 2012

Posted on Wednesday, January 18, 2012 by wirajiwa Faintallah

No comments

Saturday, November 5, 2011

Selamat menyambut hari raya korban untuk semua kaum kerabat dan sahabat handai. Semoga Allah melimpahkan keberkataan dan pengertian pengorbanan itu disematkan kedalam diri setiap dari kita.
Sebenarnya dalam kehidupan yang sangat singkat ini besar atau kecil pengorbanan yang dilakukan itu bukanlah menjadi soal atau ukuran. Tetapi keikhlasan pada setiap pengorbanan itulah yang menjadi ukuran.
Dikatakan, orang yang paling banyak berkorban adalah orang yang paling mengerti dan memahami nilai hidup ini. Dan bergitulah sebaliknya, yaitu orang yang paling mengerti dan memahami kehidupan ini, pasti ianya tidak berat untuk berkorban.
Dan sesungguhnya pengorbanan itu berat bagi yang mencintai dunia ini. Namun ianya manis bagi mereka-mereka yang mengingati mati dan mereka yang mencintai kampong halaman yang kekal. Dan sesungguhnya hidup dan mati itu sangat adil perjalanannya. Dan kita pasti akan diperhitungkan apa yang telah kita lakukan.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.

Posted on Saturday, November 05, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Sunday, August 28, 2011

Makin hampir dengan penamatnya dan makin hampir Ramadhan ini melabuhkan tirainya.  Sungguh benar ini bulan Rahmat dan penuh Keberkatan. Namun secinta mana sekalipun kepada sesuatu, hakikat yang tidak dapat kita ubah adalah. Ianya tidak pernah kekal. Dan waktu tidak pernah juga menanti kita. Sama ada kita memenafaatkannya, atau kita mengsia-siakannya. Ia tetap akan pergi dan pasti akan pergi. Dan pasti juga datang kembali. Namun persoalannya, adakah kita masih disini menanti kehadirannya? Atau Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita?

Saya tidak pasti dari mana ucapan ini. Tetapi yang nyatanya, saya hanyalah mengambilnya dari seseorang yang lain. Katanya: “Salah satu dari tanda-tanda ibadah puasa kita diterima Allah, adalah disiplin dan akhlak dibulan Ramadhan itu dapat diamalkan didalam kehidupan kita walaupun selepas Ramadhan berlalu. Dan salah satu dari tanda ibadah puasa kita tidak diterima Allah pula adalah, akhlak dan disiplin di bulan Ramadhan itu tidak dapat kita bawa dan amalkan sebaik sahaja habis bulan Ramadhan.” [Dengan lafaz yang sedikit berbeza]

“Yaa Allah. Dimanakah letak dan nilainya ibadah puasa kami yaa Allah? Kasihankanlah kami.”

Dan sesungguhnya orang yang melakukan pekerjaan yang sia-sia itu adalah orang yang mengerjakan ibadah, tetapi tidak mengerjakan dengan sebaik-baiknya dan gagal menghayati  ibadah tersebut. Malah   mencampur adukkan didalamnya dengan segala barang yang ditegah. Perumpamaan  seorang yang memikul beban yang sangat besar dan berat kesuatu tempat. Sedangkan dia tidak mengetahui apakah yang dipikulnya, lalu dia tidak mengusahakannya dengan sebaik mungkin. Sehingga berciciran disana sini. Dan apabila tiba kedestinasinya, tiadalah sedikitpun yang berbaki. Sesungguhnya orang itu adalah orang yang mengerjakan pekerjaan yang sia-sia.

Bukanlah yang dimaksudkan ibadah puasa itu adalah ibadah yang sia-sia. Tetapi orang yang tidak mengerjakannya dengan sebaik-baiknya itulah yang dikatakan sia-sia.

Ibarat seperti seorang yang membuka sebuah gedung pakaian yang besar. Namun tidak menjaganya dengan baik, tidak menyediakan system-system keselamatannya, dinding yang kukuh atau pintu yang berkunci ketika malam. Maka bukankah akan habis sahaja diambil pencuri? Atau tidak menyediakan pekerja-pekerja yang amanah bagi menyelengarakan perniagaannya. Bukankah untung dan modalnya akan diselewengkan oleh pekerja yang tidak amanah itu?

Pada dasarnya gedung pakaian itu sepatutnya menghasilkan penghasilan yang lumayan. Namun oleh kerana tidak diuruskan dengan cara yang baik maka ianya bakal mengalami kerugian yang sangat besar. Malah lebih mengawatkan, sesuatu yang sepatutnya memberi keuntungan yang sangat banyak itu justeru menjadi beban kepada pemiliknya. Nah inilah yang dikata dan dimaksudkan sia-sia bagi orang yang mengerjakan ibadah itu tadi.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”  [QS. al-Baqarah :183]

Ini menunjukkan yang ibadah puasa itu adalah ibadah yang boleh mendidik dan melatih serta mengubah manusia itu menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.  Jika sebaliknya berlaku. Maka hakikatnya, kita masih lagilah belum berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya. Hanya sekadar menahan diri dari  makan dan minum semata-mata.

“Yaa Allah, Yaa Rabbi, Yaa Rahman, Yaa Rahim. Sesungguhnya kami sangat takut bila mengingati mati. Tetapi tidak juga kami menghindarkan diri dari yang sia-sia. Dan merapatkan diri kepada yang dikatakan saham-saham Syurga. Masih juga kami cintakan perkataan-perkataan manis dunia yang sementara. Dan asyik dengan belaian-belaian fitnah yang indah pada kulitnya tetapi berulat didalamnya. Yaa Allah, selamatkanlah kami.”


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. [QS. Al Kahfi (18): 103-105]



“ Yaa, Allah, kasihankanlah kami. Selamatkanlah kami dari kerugian yang sangat besar itu.”

Dan dari satu sudut yang lain pula. Sejauh manakah kita dapat menghayati ibadah puasa ini dalam konteks mensyukuri niqmat-niqmat yang Allah limpahkan kepada kita. Dan sejauh manakah kita mengerti akan kesusahan mereka-mereka yang kurang bernasib baik dari segi material duniawinya? Orang-orang fakir dan miskin, anak-anak yatim contohnya. Sejauh manakah kita merasakan kehibaan mereka.

Dan jika sungguh kita kasihkan saudara kita. Manakah bukti kepada kenyataan yang dilafazkan itu. Sejauh manakah kita melakukan sesuatu demi kebaikan mereka? Sedang zakat dan fitrah sahaja kita lewat-lewatkan. Yang mana  duit tersebut adalah bagi keperluan untuk disalurkan kepada saudara-saudara kita untuk persediaan hari raya bagi mereka.

Sejauh manakah kita mengasihi saudara-saudara kita? Dengan memenuhkan semua keinginan kita terlebih dahulu dan kemudian daripada itu(malah jauh terkemudian) barulah kita memikirkan mereka-mereka yang tidak bernasib baik ini? Atau lebih menyedihkan kita tidak dapat mengerti, maksud dan hikmah sebenar disebalik zakat fitrah. Malah menganggap itu kewajipan yang diwajibkan keatas setiap umat Islam semata-mata. Sedangkan setiap sesuatu yang diperintahkan didalam Islam itu mempunyai maksud yang tersirat. Hikmah yang tersembunyi. Dan kebaikannya merata kepada semua.

"Siapa yang tidak menyayangi manusia maka tidak disayangi Allah 'azza wajalla."[HR.Shahih Muslim : 4283]

“Perumpamaan orang yang beriman yang saling mencintai dan saling menyayangi serta saling mengasihi bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota menderita sakit, maka yang lain ikut merasakan hingga tidak bisa tidur dan merasa demam.” [HR. Bukhari dan Muslim]
“Yaa Allah, tingkatkan rasa kasih sayang didalam hati kami”

Dan sesungguhnya Ramadhan itu memupuk rasa kasih didalam hati orang-orang yang beriman. Supaya menjadi insan yang lebih prihatin kepada saudaranya. Dan jika kita masih tidak menjumpai  sifat-sifat tersebut didalam diri kita sedangkan Ramadhan hampir melabuhkan tirainya, dan  kita masih jauh lagi dari ibadah puasa yang sebenar. Masih terkapai-kapai mencari erti  Ramadhan. Sedangkan bulan yang penuh keberkatan ini telah hampir kepenghujungnya. Sesungguhnya kita bukanlah dari golongan yang berfikir. Ayuh, bangkit, insaf. Kerana masih belum terlewat untuk mengatur langkah kepada Allah.

“Wahai Tuhan, tiada Penguasa selain Engkau yaa Allah. Pandangilah kami. Kasih dan kasihankanlah kami. Sesungguhnya kami orang-orang yang tertipu yang merasakan diri ini benar. Lalu kami mohon Engkau tunjukilah kami. Janganlah biarkan kami terus berada didalam kesesatan.

Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Ampunkanlah kami. Dan janganlah Engkau biarkan kami. Kerana jika demikian, akan gembiralah iblis laknatullah. Engkau turunkanlah taufiq dan hidayah kedalam hati kami. Sesungguhnya Engkau berkuasa diatas setiap sesuatu. Dan tidak ada yang membatasi Kehendak Engkau yang Maha Berkehendak”

Posted on Sunday, August 28, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

kesempatan ini. Berbesar hati kami ingin mencoretkan sepatah dua kata. Maka kami mengambil kesempatan dan ruang untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh kaum Kerabat Di Raja Seri Naga, keluarga jauh dan dekat. Keluarga sebelah Ayahanda kami. Paman dan Bibi kami yang berada di Kota Sepi serta yang berada di Kota Wali. Dan kepada Bibi kami sekeluarga laki isteri yang berada di Kota Naga. Ucapan ini merangkumi juga kepada adinda-adinda pupu kami kesemuanya.
Terlebih dahulu. Ucapan ini adalah buat Ayahanda dan Bonda kami di Kota Naga. Sungguh Allah telah melahirkan kami diantara dua manusia yang hebat dan penyayang. Semoga Allah mencatatnya sebagai kebaikan yang akan terus kembang sehingga ke hari akhirat.
Dan kepada Ayahanda dan Bonda Mertua kami. Semoga Allah melimpahkan Rahmat Dan Niqmatnya dialam barzah. Yaa Allah, lapangkanlah bagi mereka. Dan belalah mereka yaa Allah, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pembela.
Juga ucapan ini merujuk kepada Ayahanda-Ayahnda dan Bonda-Bonda saudara sebelah Bonda kami yang kebanyakan dari mereka berada di Tanah Jajahan Raja Ibrahim, Jajahan Jalan Sempit dan di Bukit Kuda Putih. Walaupun antara kita jarang sekali bersua, tetapi air dicincang tidak akan pernah putus. Dan kepada Kekanda-Kekanda serta Adinda-Adinda sepupu kami sebelah Bonda yang kebanyakannya berada juga di Kota Seri Daik. InsyaAllah bakal bertemu di Syawal ini.
Semoga Allah juga melimpahkan keberkatanNYA kepada semua keluarga, adinda-adinda dan kekanda-kekanda sebelah isteri-isteri kami. Ayah-ayah saudara serta Ibu-ibu saudara isteri kami, yang juga kasih kami tidak pernah surut kepada mereka. Nasihat dari mereka sesungguhnya sentiasa merata didalam keluarga. Dan mereka menjadi contoh orang tua yang terbilang. Semoga Allah memuliakan mereka didunia dan di akhirat.
Bergitu juga bagi Mertua-Mertua Adinda-Adinda kami sekeluarga beserta ipar-ipar mereka. Pertalian yang terjalin antara kalian dan aku berperantarakan perkahwinan adinda-adinda kami dengan anakanda-anakanda kalian, semoga mendapat rahmat disisi Allah. Dan menjadi penyebab jua akan sangkut pautnya diakhirat kelak.
Ucapan ini merata juga kepada Sahabat-Sahabat. Yang jauh dan yang dekat. Istimewa kepada yang berada di Kota Naga dan Kota Laksemana. Sesungguhnya persahabatan yang terjalin ini semoga Allah menyemai kualiti-kualiti dakwah didalamnya.
Kepada warga Speedfinger Forum, Islam2u, Bilik Kungfu, Facebook dan Dota Group. Semoga Allah memelihara kita dari setiap kefahaman yang salah, serta kedegilan didalam kejahilan. Istiqomahlah. Dan berkasih sayanglah diantara kita. Kerana sesungguhnya penghuni-penghuni Syurga itu terdiri dari mereka-mereka yang pengasih.
Tidak ketinggalan juga kepada Kerabat kami yang berada di Kota Seri Alam, Kota Keramat, Tanah Jajahan Penghulu Bunian, Pekan Raja dan Kota Seri. Biarlah kita hanya bersaudara, dan kekalkan sahaja bergitu mengikut sekadarnya.
Kepada semua yang tertinta diatas dan juga kepada yang tiada didalamnya.
SELAMAT HARIRAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

“YAA ALLAH, YAA TUHANKU. MEREKA-MEREKA INI ADALAH SAUDARA-SAUDARAKU DAN SAHABAT-SAHABATKU. DAN ADA DIANTARA MEREKA YANG PERNAH BERBUAT JAHAT KEPADAKU. MAKA ENGKAULAH YANG MENJADI SAKSI YANG AKU TELAH MENGHALALKAN SELURUHNYA.

DAN ADA DIANTARA MEREKA-MEREKA INI JUGA YANG AKU SENDIRI PERNAH BERBUAT JAHAT KEPADA MEREKA. ENGKAU BUKAKANLAH HATI MEREKA UNTUK MEMAAFKAN AKU YAA ALLAH. SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YANG MENAIKKAN DARJAT DAN MENURUNKAN DARJAT SESIAPA YANG ENGKAU MAHU.

YAA RAHMAN, SESUNGGUHNYA KEBANYAKAN DARIPADA MEREKA-MEREKA ITU PULA, ADALAH TERBIASA BERLAKU BAIK DAN PEMURAH KEPADAKU. DENGAN ITU WAHAI YANG MAHA PENGASIH. ENGKAU LIMPAHKANLAH KASIH SAYANGMU KEPADA MEREKA DIDUNIA DAN DIAKHIRAT.

YAA ALLAH, JANGANLAH ENGKAU JADIKAN RAMADHAN INI ADALAH KESEMPATAN TERAKHIR BUAT KAMI. DAN JADIKANLAH PULA SYAWAL INI SEBAGAI SATU PERMULAAN HIJRAH KAMI KEPADAMU. DARI KECINTAAN DUNIA YANG SEMENTARA, KEPADA KECINTAAN AKHIRAT YANG KEKAL ABADI. DARI KESAYANGAN MAKHLUK YANG PURA-PURA KEPADA KESAYANGAN DAN KECINTAANMU YANG MAHA SUCI DAN MAHA TINGGI.

YAA ALLAH. MAKBULKANLAH. AMEEN”

Posted on Sunday, August 28, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Saturday, July 23, 2011

Pernahkah anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.
 

Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:
 

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
 

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
 

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan dia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau dia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si mati, kita patut memberi sedekah dan kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
 

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara atau majlis-majlis rasmi, kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
 

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan dijamu makan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang dituntut tetamu harus banyakkan makan dan habiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.
 

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak dan solat fardhu yang digalakkan berjemaah di masjid.
 

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan, tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam, akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
 

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?
 

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah anak ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Al-Quran atau tak pandai hukum hakam agama, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen mengaji Al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM70.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM50.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al-Quran atau solat dari tidak lulus peperiksaan.
 

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri padaNya segan dan malas.
 

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, pakai kain batik atau biasa-biasa saja. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
 

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
 

Posted on Saturday, July 23, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Thursday, July 21, 2011

Dari Abu Hurairah ra.menjelaskan bahwa Rasulullah bersabda,:
“Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah berkata baik atau diam. Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tetangganya. dan barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tamunya” (HR Bukhari dan Muslim)
 “Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah berkata baik atau diam. Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tetangganya. dan barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tamunya” (HR Bukhari dan Muslim)
 Dan 'friendlist' dalam Facebook kita ini bolehlah kita anggap sebagai tetangga juga. Yang kita dikuasakan untuk menebarkan kebaikan(salam dan perkataan yg baik-baik) atau kemudharatan(berupa kata-kata buruk , sindir-sindiran, maki hamun dan kata-kata fitnah)  Dengan itu berbudi pekerti baiklah kita dengan tetangga-tetangga kita. Tidak memadai sekadar menjaga aurat sendiri pada gambar-gamabr yang di upload, tetapi sentiasa mengunakan kata-kata sidiran yang tidak membangun. Yang lahir bukan tujuan untuk memberi nasihat, tetapi kerana geram dan sakit hati.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam. bersabda, "Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman." Ditanyakan, "Siapa yang tidak beriman wahai Rasulullah?" beliau menjawab, "Yaitu orang yang tetangganya tidak aman dari kejahatannya." (HR Bukhari [6016] dan Muslim [46])
 
Mungkin dahulu, sebelum zaman teknologi It berkembang seperti sekarang ini. Jiran tetangga itu terhad kepada kediaman, tempat tinggal sahaja. Tetapi sekarang ini tidak. Kita ada Blog, kita ada halaman-halaman social yang sangat banyak. Dan cukup popular sekarang ini adalah  facebook. Kita sentiasa kunjung mengunjung. Saling memberi komenter, malah ianya berlaku dalam waktu yang sangat singkat. tidak ada batas waktu, tiada sempadan dan sekatan.
 
Fenomena ini lebih mirip kepada hidup jiran berjiran itu. Maka, jangan sekali-kali memandang remeh kepada perkatan-perkataan yang kita titipkan. Perhalusi dan cermatlah dalam setiap tindakan. 

Posted on Thursday, July 21, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Malaysian Business Locations Directory