http://wirajiwa.bumicyber.com/images/thumbnails/images/remote/http--2.bp.blogspot.com-_dMXaD0ePpuI-TAVFcZYJwNI-AAAAAAAAB74-R-JRwzm-jmk-s1600-556689-219x219.jpg
PALESTIN SEPINTAS LALU

Negara ‘haram’ *israel terbina di atas tanah rakyat Palestin yang dirampas semenjak tahun 1948; di atas restu England, Amerika dan PBB. Episod ganas dan mengerikan itu bermula pada 9 April 1948 apabila kumpulan komando pengganas Zionis yang terdiri dari kumpulan Irgun, Stern Gang dan Palmach menyerang perkampungan Deir Yassin yang jaraknya 5.5km dari sebelah barat kota Baitul Maqdis. Kumpulan pengganas ini diketuai oleh Menachem Begin, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri israel. Sejumlah 254 dari 750 penduduk kampung tersebut dibunuh dengan kejam dalam masa 3 hari. Manakala mereka yang terselamat pula diarak di bandar israel sebagai trofi, dicaci maki, diludah, dibaling dengan batu; kemudiannya sebahagian dari mereka dibawa pulang semula ke Deir Yassin untuk dibunuh dan sebahagiannya lagi dipenjara dan diseksa. Bermula dari hari itu, seluruh rakyat Palestin terus menanggung episod derita yang tak berkesudahan. Setiap hari mereka dibunuh, dipenjara dan diseksa oleh tentera dan rakyat israel. Seperti juga di Iraq, senjata kimia juga digunakan secara meluas untuk menghapuskan orang-orang Islam Palestin. Kebun-kebun tanaman masyarakat Palestine dimusnahkan, perniagaan dan perdagangan dihancurkan, rumah dan sekolah dibom, serta tanah-tanah milik mereka dirampas sepanjang masa. Sebahagian masjid-masjid ditukarkan menjadi kuil Yahudi manakala sebahagiannya lagi dijadikan tempat minum arak (pub) dan pusat pelacuran. Hatta tempat-tempat menyimpan air bagi rakyat Palestin juga diracuni oleh Zionis israel yang jahat itu. Regim Zionis israel juga telah membina tembok-tembok raksasa yang tinggi untuk memisahkan baki wilayah Palestin yang tinggal dari negara haram israel. Akhirnya, seluruh rakyat Palestin akan tinggal dalam penjara gergasi ciptaan Zionis israel.

Pada bulan November 2006 lalu, Dunia Hari Ini (RTM) melaporkan 3000 kanak-kanak Palestine yang berusia di bawah 15 tahun (lelaki dan perempuan) ditahan di penjara-penjara israel. Kanak-kanak ini terdedah kepada penderaan fizikal, mental dan seksual yang dilakukan oleh tentera-tentera Syaitan israel setiap hari. Tidak kurang juga wanita-wanita Palestin yang menjadi mangsa. Semenjak tahun 1967, lebih 650,000 rakyat Palestin telah ditangkap dan dipenjarakan, sementara lebih 2 juta orang lagi menjadi pelarian yang hidup dalam keadaan yang sangat daif. Secara keseluruhannya, 6 juta rakyat Palestin telah diusir dari tanah air mereka semenjak tahun 1946.

Peristiwa penyembelihan di Shabra dan Shatila (kem pelarian Palestin yang terletak di sempadan Lubnan) pada 16 September 1982, menyaksikan lebih 3000 pelarian Palestin yang tinggal di kem-kem sementara telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas israel yang dibantu oleh kumpulan Falangis (kumpulan pengganas kejam Kristian Lubnan). Pembunuhan kejam itu dilakukan dalam masa 36 jam. Kanak-kanak disembelih di hadapan ibu-ibu mereka. Wanita dan gadis diperkosa. Orang-orang tua disiksa dengan memotong anggota badan termasuk mencungkil keluar mata dan dibiarkan mati perlahan-lahan. Bayangkan….tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keadaan yang berlaku pada waktu itu. Jika ini boleh berlaku di Palestin, ianya mungkin pada bila-bila masa boleh berlaku di tempat kita sekiranya kita terus mengambil langkah mendiamkan diri dan berpeluk tubuh.

Masjidil Al Aqsa, tempat ketiga paling suci bagi umat Islam (di mana Nabi Muhammad SAW Mi’raj ke langit bertemu Allah Ta’ala) berada dalam keadaan yang amat genting. Golongan Yahudi Zionis di israel dan seluruh dunia sedang berusaha keras untuk merobohkan masjid ini bagi mendirikan kuil mereka di atas tapak Al Aqsa. Masjid Al Aqsa telah beberapa kali mengalami kebakaran yang teruk akibat percubaan Yahudi untuk memusnahkannya semenjak berpuluh tahun yang lalu. Mereka telahpun menggali beberapa terowong yang besar di bawah Al Aqsa untuk melemahkan strukturnya.

IRAQ DAN AFGHANISTAN

Selain dari Palestin, Amerika yang didalangi oleh israel telah melakukan pemusnahan total terhadap Iraq dan Afghanistan. Lebih 1.2 juta nyawa yang tidak berdosa melayang. Iraq, sebuah negara yang paling maju di Timur Tengah suatu masa dulu, telah dihancurkan dengan berbagai jenis bom sehingga mengembalikannya ke zaman batu. Lebih 800,000 kanak-kanak Iraq menjadi yatim. Kebanyakan mereka hidup melarat dan terdedah kepada kegiatan tidak bermoral. Lama sebelum perang bermula, lebih setengah juta bayi dan kanak-kanak Iraq terkorban kerana kekurangan zat dan kemudahan perubatan akibat tindakan sekatan ekonomi yang dikenakan PBB atas desakan Amerika semenjak tahun 1991. Generasi yang sepatutnya menjadi harapan untuk mempertahan dan membangunkan negara pada masa depan telah habis dihapuskan secara sistematik. Sepanjang sekatan ekonomi, hampir semua jenis kemudahan yang diperlukan disekat sekeras-kerasnya termasuk kertas dan pen. Ini untuk memastikan generasi Islam di Iraq yang masih hidup akan terus menjadi bodoh tanpa bahan pendidikan yang sempurna.

Masihkah anda ingat, seluruh dunia dikejutkan dengan peristiwa yang berlaku di penjara Abu Gharib, Iraq. Betapa dahsyat apa yang kita saksikan berlaku di situ melalui foto-foto yang kita lihat tersiar di media massa seluruh dunia. Malahan, terdapat banyak lagi foto-foto ngeri tentang penyeksaan dan penderaan seksual ke atas tahanan lelaki, wanita serta kanak-kanak yang masih tersimpan rapat di dalam peti rahsia di Pentagon USA. Sebahagian besar bukti penyeksaan telah berjaya dimusnahkan oleh ‘Bush and the gang’, sebelum mereka meninggalkan Rumah Putih.

Tidak dilupakan, Vietnam juga dihancurkan lebih 35 tahun dulu sewaktu Amerika cuba menjajah negara tersebut (1965-1975). 3 juta orang awam dibunuh tanpa sebab. Banyak lagi negara lain di dalam dunia menerima nasib yang sama dari angkara Amerika, cuma kisahnya dibiarkan tersorok dalam lipatan sejarah silam. (untuk berita terkini dan analisis sila layari http://www.uruknet.info)

APA YANG PERLU KITA LAKUKAN? BAGAIMANA DAPAT KITA MEMBANTU?

BERMULA dengan ‘3B’: Berdoa. Berderma. Boikot.

BERDOA dan terus BERDOA UNTUK SAUDARA KITA.

Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Ibnu Abi Aufa berkata :

“Aku mendengar Rasulullah SAW berdoa di waktu peperangan Ahzab : “Wahai Allah, Tuhan yang menurunkan Al Kitab, dan Tuhan yang cepat perhitunganNya, kalahkanlah tentera-tentera musuh dan goncangkanlah mereka.” (Ibnu Mas’ud).

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Al Baqarah 2:186)

BERDERMA
Di antara usaha lain yang InsyaAllah dapat kita lakukan ialah dengan menghulurkan derma sekadar yang mampu kepada warga Palestin (melalui badan-badan Amal tertentu). Mereka sajalah umat yang ada untuk menjadi sandaran bagi mempertahankan Masjidil Al Aqsa dan bumi Palestin buat masa ini. Hilang bangsa Palestin, hilanglah Al-Aqsa. Walaupun dalam keadaan yang serba daif mereka masih bertahan dengan izin Allah, hampir 60 tahun lamanya. Rakyat Palestin sangat sengsara akibat sekatan ekonomi oleh israel mutakhir ini. Bekalan makanan semakin berkurangan begitu juga ubat-ubatan. Jika mereka tidak ditolong oleh saudara-saudara Islam yang lain, maka ramailah di antara mereka yang akan mati akibat kebuluran dan penyakit. Kanak-kanak pula akan mati akibat tidak cukup zat dan ubat-ubatan. Oleh itu, pertolongan melalui derma oleh Umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia sangat-sangat diperlukan dengan segera. Lebih Memburukkan lagi keadaan apabila kerajaan pengganas israel pada 27 Disember 2009 melancarkan serangan berskala besar yang meragut banyak nyawa yang tidak berdosa terutama kanak-kanak. Beribu-ribu pula cedera parah, dan jika berpeluang untuk hidup, kebanyakan mereka akan mewarisi kecacatan kekal sepanjang hayat. Bom kimia WP (White Phosphorus) digunakan dengan berleluasa yang mengakibatkan kecederaan parah dan kematian yang mengerikan. SEGERALAH BERTINDAK!

BOIKOT

Nabi bersabda: “Apabila kamu melihat kemungkaran, hendaklah kamu cegah dengan tangan; jika tak mampu, dengan lidah; jika tak mampu juga, dengan hati; maka itu adalah selemah-lemah iman.” Riwayat Muslim.

(Dapatkan maklumat yang lebih terperinci, berserta senarai lengkap (bergambar) Barang Yang DiBoikot Sepenuhnya dan Barang Yang DiBoikot Sebahagian)

Kenapa perlu Boikot?

Setiap ringgit yang kita belanjakan untuk membeli produk seperti Coca Cola, Pepsi, Mirinda, Pringle’s, Kraft, Johnson&Johnson, Levi's, Caltex, Esso, McDonald, KFC, Burger King, dan banyak lagi, akan secara langsung menyumbangkan kepada kekukuhan ekonomi Amerika dan israel. Dengan kekukuhan ekonomi, mereka dapat mencipta lebih banyak senjata pembunuh dan pemusnah yang bakal digunakan terutamanya ke atas Umat Islam bukan sahaja di Iraq, Afghanistan, Palestin, malahan di seluruh muka bumi ini pada suatu hari nanti.

Sebagai manusia yang beragama dan bertamadun, sudah tentu kita tidak suka menggunakan cara keganasan yang digunakan oleh Amerika dan israel untuk menegakkan pendirian (dengan menjadi pembunuh dan pemusnah). Boikot adalah salah satu cara untuk meluahkan penentangan terhadap kezaliman, ketidakadilan dan keganasan zionis; tanpa perlu kita bertindak ganas. Sebagai pengguna, kita mampu memainkan peranan untuk merubah keadaan. Kalau tak mampu boikot semua produk keluaran Amerika dan syarikat yang menyokong israel, kita bermula dengan beberapa item yang kita mampu dulu, InsyaAllah. Kita sebagai Insan yang lemah hanya merancang, mencari ikhtiar dan berusaha, Allah Taa'la yang Maha menentukan segalanya. Walau apapun, perjalanan 1000 batu bermula dengan satu langkah.

Bagi kita rakyat Malaysia yang merdeka, kita masih mampu mengubah keadaan dengan lidah dan tangan. Sebagai pengguna pula, kita masih mampu untuk berbuat sesuatu dengan kuasa membeli yang ada pada kita. Kita juga mampu menggunakan lisan kita untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada oran lain.

Sewaktu Nabi Allah Ibrahim a.s dibakar oleh Namrud dengan api yang menjulang seperti gunung, seekor burung membawa beberapa titis air di dalam paruhnya untuk cuba membantu memadamkan api yang membakar. Burung-burung yang lain mengatakan apalah gunanya engkau membawa beberapa titis air untuk memadamkan api yang menggunung itu. Belumpun sempat air itu jatuh ke bawah, sudah tentu hilang sekelip mata akibat kepanasan api. Burung yang cuba membantu menjawab, "sekurang-kurangnya, aku tidak berpeluk tubuh tanpa cuba berbuat sesuatu. Setidak-tidaknya aku telah berusaha setakat termampu untuk menyelamatkan agama Allah di atas muka bumi ini."

(Ar Raad 13:11) "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri …"

Apakah matlamat yang ingin dicapai dengan memBoikot?

Aktiviti pemboikotan barangan negara-negara yang terlibat dalam keganasan membunuh Umat Islam bukan sahaja dipraktikkan oleh kita di Malaysia sahaja malahan di merata tempat di seluruh dunia dengan matlamat untuk menghentikan keganasan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap orang awam yang tidak berdosa. Sebahagian dari penduduk di negara-negara Timur Tengah telah lama mengambil langkah ini. Sebahagian rakyat Eropah misalnya dari Norway, Belgium, Greece, Perancis, Sepanyol dan lain-lain lagi telahpun secara terbuka memulau barangan Amerika, israel dan negara penyokong mereka. InsyaAllah, dengan gabungan ini, tidak dapat tidak, syarikat-syarikat gergasi Amerika terutamanya akan terasa juga bahangnya. Hanya 10% penurunan dalam jualan mereka di seluruh dunia akan membuatkan pelabur-pelabur mereka melompat dari kerusi. Ini diharapkan dapat memaksa mereka untuk mengkaji dan menilai kembali sokongan terhadap dasar luar kerajaan mereka yang ganas. (Untuk maklumat dan gambaran jelas layari http://www.inminds.co.uk/)

Cari Alternatif - Alhamdulillah, mutakhir ini, telah terdapat banyak produk kegunaan harian keluaran Malaysia yang lebih murah dan bermutu tinggi. Kalau dahulu, kita hanya kenal Colgate, tetapi hari ini kita dapat berbangga dengan produk ubat gigi keluaran negara kita sendiri seperti Safi, Najwa, Halagel, Mukmin, Raiya yang kesemuanya berstatus Halal. Begitu juga dengan produk sabun, kita sudah punya banyak alternatif lain selain dari Fab (USA) dan Breeze (England); misalnya Puteri Emas, Daia, Harimau Kuat dan banyak lagi. Nestle merupakan salah satu penyumbang utama kepada Ekonomi israel. Oleh itu, carilah alternatif kepada Milo >>>(Vico - buatan Malaysia, MyVico-M’sia), Maggie mee >>>(Mamee, Adabi, Rusky - Malaysia, Indo Mi - Indonesia), Cap Junjung >>> (Marigold, F&N, Dairy Champ - Malaysia), Nescafe >>> (Radix, Gold Choice, Super CoffeeMix - Malaysia, Indocafe-Indonesia) dan banyak lagi pilihan yang lain dengan kualiti yang setanding dan harga yang lebih murah.

Adakah cara ini efektif? Proses pemulauan barangan pernah dilakukan oleh sebahagian penduduk dunia ke atas regim kulit putih Apartheid di Afrika Selatan yang menindas kaum kulit hitam berabad lamanya. Hasilnya, ekonomi regim Apartheid terpukul dan seterusnya melemahkan mereka dan akhirnya terpaksa menyerahkan kembali negara tersebut kepada mereka yang berhak. Ini memberi ruang kepada penduduk asal menikmati kembali hak mereka di mana Presiden Nelson Mandela yang dipenjarakan oleh tentera regim kulit putih berbelas tahun lamanya akhirnya dibebaskan.

Bagi negara-negara kapitalis, kekuatan ekonomi merupakan kunci bagi mereka menakluki dunia dan menjalankan aktiviti keganasan sesuka hati mereka. Kebanyakan punca kekayaan yang mereka perolehi semenjak berkurun dulu datang dari hasil rompakan yang mereka lakukan ke atas negara-negara timur dan Afrika yang kaya dengan hasil bumi yang ditakluki mereka. Hari ini, ekonomi mereka disokong penuh oleh sebahagian besar pengguna di dunia terutamanya melalui pembelian produk dari negara Amerika.

Walaubagaimanapun, mutakhir ini dunia menyaksikan Amerika dan negara-negara Eropah mengalami kejatuhan ekonomi yang terburuk di dalam sejarah. Ini diharapkan dapat merencatkan keegoan mereka untuk terus membuli negara-negara lemah dan mencipta lebih banyak pembunuhan dan kemusnahan. Sebagai pengguna, ini adalah kesempatan terbaik untuk digunakan bagi memberi tekanan serta menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan Amerika supaya berhenti dari terus menyokong keganasan israel secara membuta tuli.

Keadaan ini juga membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk memberi sokongan penuh kepada produk tempatan dan di dalam masa yang sama membebaskan diri dari kebergantungan hidup kepada produk dari luar. Menyokong produk tempatan menjadikan Malaysia negara yang berdikari. Lebih banyak kita menggunakan produk tempatan, lebih mengukuhkan ekonomi negara kita sebenarnya.
Kenapa kita masih lagi terpaksa menjual sebahagian barangan yang diBoikot?

Tidak dapat kami nafikan bahawa usaha memboikot barangan USA dan penyokong israel bukanlah sesuatu yang mudah disebabkan beberapa faktor. Faktor utama ialah kebergantungan semenjak sekian lama rakyat Malaysia terhadap produk impot.

Terdapat beberapa jenis jenama barangan yang telah menjadi sebati dengan pengguna di Malaysia. Produk-produk ini telah kita gunakan dalam kehidupan harian kita semenjak zaman datuk nenek lagi. Sebahagian besar dari kita telahpun beranggapan bahawa produk tersebut berasal dari negara kita sendiri disebabkan terlalu lama penggunaannya dan sangat popular. Antara jenama yang sangat popular di negara kita yang hampir kesemua rakyat Malaysia menggunakannya ialah Milo, Maggie, Kiwi, Colgate dan banyak lagi.

Semenjak puluhan tahun dulu lagi, saban hari kita disajikan dengan iklan produk-produk tersebut melalui media cetak dan elektronik; siang dan malam. Sebagai syarikat multinasional yang kaya, syarikat-syarikat yang menyokong israel boleh dikatakan memonopoli sepenuhnya ruangan iklan, terutamanya di kaca TV. Kebanyakan syarikat tempatan tidak mampu untuk bersaing melalui pengiklanan disebabkan kosnya yang sangat mahal. Kebanyakan pengguna di Malaysia pula boleh dikatakan sangat terkesan dengan pengaruh iklan yang mereka tontoni di dalam membuat keputusan terhadap pembelian.

Kadar penggunaan produk Milo oleh rakyat Malaysia adalah di antara yang tertinggi di dunia. Milo telah diperkenalkan kepada rakyat Malaysia semenjak dari mereka kecil lagi. Milo mula bertapak di Malaysia lebih dari 50 tahun dahulu. Oleh itu, untuk memaksa pengguna Milo di Malaysia berhenti menggunakan produk tersebut serta-merta, tidak ramai orang yang mampu melakukannya. Di dalam menangani kes seperti ini, pihak Sabasun akan cuba mengambil langkah strategi jangka panjang.

Contoh kes: Produk penjagaan bayi Johnson & Johnson mula diboikot pada tahun 2006 yang lalu. Johnson & Johnson merupakan salah satu syarikat Amerika yang hipokrit. Di dalam iklan-iklan mereka, ditonjolkan tentang betapa prihatinnya syarikat itu terhadap keselamatan dan penjagaan bayi di seluruh dunia. Hakikatnya, mereka merupakan salah satu penyumbang kewangan yang utama supaya rejim zionis boleh terus membunuh bayi-bayi serta kanak-kanak yang tidak berdosa. Mereka melakukannya melalui (kononnya) pembelian sebuah syarikat israel, Colbar LifeScience. Pada 3 Ogos 2006 yang lalu, di waktu tentera israel sedang galak membunuh rakyat Lubnan, Johnson & Johnson tidak sabar-sabar menghulurkan bantuan kepada israel sebanyak USD 159 juta, kononnya untuk menambah pelaburan dalam Colbar.

Proses pemboikotan terpaksa dilakukan secara berperingkat memandangkan penggunaan produk ini yang meluas di kalangan pengguna di Malaysia serta faktor sejarah dan jenamanya yang sudah lama bertapak di negara kita. Strategi yang digunakan ialah dengan memboikot 30 jenis barangan daripada jumlah keseluruhan 126 jenis pada peringkat pertama. Pada tahun berikutnya, 100 jenis dari 126 jenis barang berjaya diboikot. Hanya beberapa jenis yang masih mendapat permintaan pelanggan dijual seperti bedak bayi. Di samping itu, ruangan jualan dan pameran dihadkan serta sebarang bentuk pengiklanan, aktiviti promosi atau sampel barangan tidak dibenarkan. Dengan produk alternatif tempatan yang ditawarkan berserta sokongan pelanggan, jualan produk dari syarikat Amerika ini semakin berkurangan dari sehari ke sehari lalu dapat diboikot sepenuhnya sebelum berakhir bulan Januari 2009. Pengguna yang berbelanja di Sabasun mula selesa memilih bedak bayi buatan tempatan seperti Carrie, Safi Manja Care, Do Re Mi dan beberapa jenis lagi.

Kuasa mutlak terletak di tangan pengguna. Andalah yang menentukannya. Bantulah kami dengan mengurangkan penggunaan produk yang diboikot; dan seterusnya mencari alternatif kepada produk terbabit.

Kenapa Disney pun perlu diBoikot?

Selain dari menjadi penyumbang kepada ekonomi Amerika dan israel, Syarikat Disney melalui filemnya memainkan peranan penting untuk menanamkan rasa kekeliruan serta kebencian, terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Contohnya filem animasi bersiri Aladin, yang telah tersiar semenjak hampir 20 tahun dulu. Di dalam filem ini, orang Arab digambarkan sebagai ganas dan jahat. Orang Arab yang ‘jahat’ di dalam filem ini akan bertutur di dalam bahasa Inggeris dengan pelat Arab yang pekat. Manakala hero dan heroin di dalam cerita tersebut pula akan bertutur bahasa Inggeris Amerika yang standard. Di dalam filem itu digambarkan Baghdad (Iraq) dipenuhi dengan orang-orang jahat. Anak-anak kecil terutamanya dari Amerika akan membesar dengan mendapat gambaran yang salah dan kebencian yang menebal kepada bangsa Arab. Hari ini, sebahagian anak-anak dari Amerika ini menjadi tentera yang menyerang Iraq dan Afghanistan. Mereka menyeksa dan membunuh manusia sesuka hati akibat dari perasaan benci yang menebal akibat dari gambaran buruk yang ditonjolkan dengan salah oleh Disney terhadap orang-orang Arab.

Tidak cukup dengan itu, Disney juga pernah menggunakan taman temanya ‘Disneyland’ di Florida Amerika untuk membuat satu pertunjukan bagi menggambarkan bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara israel. Baitulmaqdis telah diduduki secara haram oleh israel. Perkara ini telah diisytiharkan oleh undang-undang antarabangsa dan disahkan melalui resolusi 242, 237 dan 405 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Resolusi PBB juga menyatakan, Baitulmaqdis (Jerusalem) tidak boleh menjadi ibu negara israel. Disney memperuntukkan sejumlah USD 8 juta bagi merealisasikan projek itu, dimana israel turut menghulurkan sumbangan sebanyak USD 1.8 juta.

TERKINI

Usaha boikot telah mula menampakkan kesan dan memberi tekanan kepada ekonomi Amerika dan sekutu mereka. Coca-Cola mengalami kejatuhan jualan 20% di seluruh dunia. 20% merupakan satu peratusan yang besar buat syarikat itu yang memungkinkan kerugian berbilion dolar. Begitu juga dengan syarikat-syarikat penyokong zionis yang lain. Ditambah dengan keadaan ekonomi yang sangat gawat, Amerika, israel dan sekutu mereka juga berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Semuga keadaan ini dapat meredakan keganasan dan kebinatangan mereka; juga bakal menghancurkan cita-cita mereka untuk menguasai dunia, Insya Allah!
"Dan berpegang teguhlah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai."(Ali Imran : 103)

"...dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa selain Allah..."~Ali Imran : 135~
*p/s: Semua perkataan yang melibatkan ‘negara haram’ israel, secara sengaja ditulis dengan huruf kecil. Ini adalah kerana israel sememangnya tidak layak untuk diiktiraf sebagai sebuah negara pun.

Published on 18 February 2012