Malaysian Business Locations Directory

ONEXOX Peneraju Prabayar Kadar Jimat

Saturday, July 23, 2011

Pernahkah anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.
 

Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:
 

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
 

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
 

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan dia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau dia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si mati, kita patut memberi sedekah dan kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
 

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara atau majlis-majlis rasmi, kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
 

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan dijamu makan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang dituntut tetamu harus banyakkan makan dan habiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.
 

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak dan solat fardhu yang digalakkan berjemaah di masjid.
 

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan, tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam, akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
 

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?
 

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah anak ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Al-Quran atau tak pandai hukum hakam agama, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen mengaji Al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM70.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM50.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al-Quran atau solat dari tidak lulus peperiksaan.
 

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri padaNya segan dan malas.
 

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, pakai kain batik atau biasa-biasa saja. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
 

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
 

Posted on Saturday, July 23, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Thursday, July 21, 2011

Dari Abu Hurairah ra.menjelaskan bahwa Rasulullah bersabda,:
“Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah berkata baik atau diam. Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tetangganya. dan barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tamunya” (HR Bukhari dan Muslim)
 “Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah berkata baik atau diam. Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tetangganya. dan barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhir, hendaklah menghormati tamunya” (HR Bukhari dan Muslim)
 Dan 'friendlist' dalam Facebook kita ini bolehlah kita anggap sebagai tetangga juga. Yang kita dikuasakan untuk menebarkan kebaikan(salam dan perkataan yg baik-baik) atau kemudharatan(berupa kata-kata buruk , sindir-sindiran, maki hamun dan kata-kata fitnah)  Dengan itu berbudi pekerti baiklah kita dengan tetangga-tetangga kita. Tidak memadai sekadar menjaga aurat sendiri pada gambar-gamabr yang di upload, tetapi sentiasa mengunakan kata-kata sidiran yang tidak membangun. Yang lahir bukan tujuan untuk memberi nasihat, tetapi kerana geram dan sakit hati.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam. bersabda, "Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman." Ditanyakan, "Siapa yang tidak beriman wahai Rasulullah?" beliau menjawab, "Yaitu orang yang tetangganya tidak aman dari kejahatannya." (HR Bukhari [6016] dan Muslim [46])
 
Mungkin dahulu, sebelum zaman teknologi It berkembang seperti sekarang ini. Jiran tetangga itu terhad kepada kediaman, tempat tinggal sahaja. Tetapi sekarang ini tidak. Kita ada Blog, kita ada halaman-halaman social yang sangat banyak. Dan cukup popular sekarang ini adalah  facebook. Kita sentiasa kunjung mengunjung. Saling memberi komenter, malah ianya berlaku dalam waktu yang sangat singkat. tidak ada batas waktu, tiada sempadan dan sekatan.
 
Fenomena ini lebih mirip kepada hidup jiran berjiran itu. Maka, jangan sekali-kali memandang remeh kepada perkatan-perkataan yang kita titipkan. Perhalusi dan cermatlah dalam setiap tindakan. 

Posted on Thursday, July 21, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Sunday, July 10, 2011

1 .  Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi
     
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam
   
3 .  Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi   

4 .  Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)
    
5 .  Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan
    
6 .  Tunjukilah kami jalan yang lurus  
   
7 . Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat    

Tafsiran:


“AI-Quran” ialah Imam kita dan Panduan kita. Dalam ayat suci ini Allah Ta’ala mengajar kita supaya tiap-tiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah Ta’ala, iaitu dengan membaca: , semoga pekerjaan kita itu diberkati Allah Ta’ala dan berjaya. Dengan melakukan yang demikian, bermakna kita berserah bulat-bulat kepada Allah Azza wa Jalla sesudah kita berusaha dan berikhtiar. “Allah” : ialah nama yang khas bagi Zat Tuhan Yang Wajib Al-Wujud, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya. Kalimah “Allah” ini dinamakan “Lafzu’l Jalalah’’yakni kalimah yang menunjukkan “Kebesaran Allah”, dan juga dinamakan “Sultanu’l Asmaa”’ yakni “Raja segala nama Tuhan”.“Ar-Rahmaan”: (Yang Maha Pemurah), “Ar-Rahiim”: (Yang Maha Mengasihani), kedua-duanya ialah di antara nama-nama Allah (AI-Asmaa’u’l Husna) yang menunjukkan bahawa Allah Ta’ala amat melimpah rahmatNya kepada sekalian makhlukNya.

Puji-pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna pada yang dipuji seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran, dan keagungan. Kerana segala kesempurnaan dan kebesaran serta keagungan dan kekuasaan itu hanya ada pada Zat Allah Yang Maha Kuasa: maka hanya Allah Ta’ala sahaja yang berhak menerima puji-pujian, sebagaimana Allah Ta’ala jua berhak memuji ZatNya sendiri.
Menurut huraian Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor, Penyemak Kitab Tafsir ini:

Satu-satunya jalan bagi menyatakan iman dan takwa kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kuasa, yang menguasai hari Pembalasan (hari Akhirat) ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepadaNya dengan penuh rasa ikhlas dan tawadhu’.Tidak ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain dari Allah Yang Maha Kuasa; demikian juga tidak ada lain tempat kita memohon pertolongan iaitu dari Allah Yang Maha Pemurah.

Pengertian “ibadat” secara ringkas dapat diertikan sebagai menunjukkan rasa taat setia dan perhambaan diri kepada Allah ‘Azza wa Jalla yang dikenangkan limpah kurnia kebaikanNya serta dirasai dalam hati nurani akan kehaibatan kekuasaanNya .

Allah Ta’ala perintahkan supaya kita tidak menyembah selainNya, kerana Dialah sahaja Tuhan yang wajib disembah dengan sebenar-benarnya. Kita juga diperintahkan supaya hanya memohon pertolongan kepadaNya. Ayat ini seolah-olahnya bertentangan dengan ayat 2, surah Al-Maa’idah yang menyuruh manusia bertolong-tolongan antara satu sama dan dalam membuat amal kebajikan dan bertakwa kepada Allah Ta’ala. Yang bererti kita disuruh supaya meminta pertolongan sesama manusia; sementara ayat 5 dalam surah Al-Fatihah ini menyuruh supaya kita hanya memohon pertolongan kepada Allah Ta’ala semata-mata.Sebenarnya tidak ada pertentangan di antara kedua-dua ayat itu, kerana usaha dan amal perbuatan manusia adalah bergantung kepada adanya sebab-sebab yang dapat menghasilkan kejayaan itu dan ketiadaan halangan-halangan yang merintanginya. Demikianlah kejadian alam ini, segala yang berlaku itu pada keseluruhannya adalah melalui adanya sebab-sebab dan syarat-syarat yang telah diatur oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Manusia sebagai makhluk Tuhan telah diberikan nikmat ilmu pengetahuan melalui akal fikirannya yang waras, di samping itu diberikan tenaga kekuatan untuk mengatasi sesuatu halangan. Oleh itu, yang menjadi tanggungjawab bagi manusia ialah menggunakan segala ikhtiar dan daya usaha, meliputi cara-cara bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain, yang disertakan dengan doa memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala. Semuanya ini adalah merupakan sebab-sebab yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala bagi pelaksanaan sesuatu pekerjaan. Dan segala-galanya itu tidak lain hanyalah merupakan usaha ikhtiar kita sahaja. Setelah kita berusaha dan berikhtiar maka kita serahkan pula Penentuan natijah dari usaha kita itu kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Penunjuk hidayah yang dipohonkan di sini ialah penunjuk yang disertakan dengan taufik supaya kita sentiasa berada pada jalan yang diredhai Allah Ta’ala.

“Orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka” ialah Nabi-nabi, Rasul-rasul dan orang-orang yang beriman serta beramal salih. Dan jalan mereka, selain daripada beriman serta beramal salih ialah membimbing manusia ke jalan kebaikan dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan perkataan yang murni serta sanggup menanggung beban dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, sabar dan bertakwa. Itulah dia “As-Siraatu’I Mustaqiim” (jalan yang lurus).

Menurut Hadith Nabi Muhammad s.a.w.: "Orang-orang yang dimurkai" itu ialah kaum Yahudi, dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi, 1:90).Ada juga Ahli Tafsir yang memberikan huraian lanjut mengenainya. Menurut Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim - Penyemak Kitab Tafsir ini - bahawa kesimpulannya seperti berikut:

“Orang-orang yang dimurkai Allah” ialah orang-orang yang mengingkari atau menyembunyikan sesuatu perkara agama yang telah diketahuinya betul dan benar, atau orang yang tidak mahu menerima sesuatu hukum agama yang sampai kepadanya dengan keterangan-keterangan yang sah kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya seperti: perasaan takassub atau fanatik kepada sesuatu pendapat, keinginan hendak menjaga nama dan taraf, ingatan hendak memelihara keadaan dan kedudukannya yang turun temurun, atau fikiran hendak menghormati sesuatu keadaan masyarakat.

"Orang-orang yang sesat” pula ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha untuk mempelajarinya atau orang yang pengetahuan agamanya tidak betul, kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan yang sebenarnya. Orang-orang yang tersebut kalau mereka tidak sesat dalam urusan kebahagiaan hidup dunia kerana sihat pancaindera dan tepat pendapat akal mereka pada zahirnya, maka tak dapat tidak mereka sesat dalam urusan kebahagiaan hidup di akhirat. kerana pengetahuan agama Allah sahaja yang sanggup menunjuk dan membimbing pengikutnya kepada kebahagiaan akhirat.

Posted on Sunday, July 10, 2011 by wirajiwa Faintallah

No comments

Malaysian Business Locations Directory