Aku tak tahu apa yang berlegar dalam kepala aku. Yang pastinya aku tidak dapat menghentikan bacaan aku. Aku membaca tentang keluhan-keluhan tentang hidup mereka yang tidak bernasib baik. Dan aku juga membaca tentang kejayaan-kejayaan mereka dalam kerjaya dan percintaan. Aku berasa sedih dengan tulisan-tulisan itu dan aku juga rasa simpati. Namun ada diantara cerita-cerita mereka menyedarkan aku bertapa aku ini beruntung. Ada keluarga yang bahagia. Masih ada Mak dan Abah yang menyayangi aku. Adik-adik yang sangat hormat kepada aku. Isteri yang sangat setia dan sabar. Serta bertapa beruntungnya juga kerana berpeluang menjadi ayah kepada anak-anak yang sangat hebat.
Bila membaca tulisan-tulisan sejarah perjuangan islam pada peringkat permulaan. Bagaimana kecintaan Rasulullah SAW terhadap umatnya. Tentang pengorbanan Khadijah terhadap suaminya. Dan kisah-kisah Abu Bakar sewaktu membela Nabi. Semua itu membuatkan semangat aku menjadi berkobar-kobar. Dan semoga kita sama-sama akan menjadi pilihan Allah untuk menjadi pejuang-pejuang agamaNYA.
Aku ingin memperbaiki diri aku. Hidup aku dan pemikiran aku. Aku ingin menjadi lebih baik dari ini dan aku berusaha kearah itu. Aku yakin sesungguhnya manusia tidak dilahirkan untuk gagal, kecuali mereka sendiri yang memilih untuk gagal. Semoga aku dan kita semua dipelihara daripada pilihan yang salah....
Kegagalan bukanlah bermakna tidak berjaya dalam sesuatu usaha. Tetapi kegagalan adalah bermaksud berputus asa untuk berusaha. Aku perlu bangkit dari pemikiran yang sempit. Aku perlu keluar dari belenggu pandangan yang kehidupan ini hanya untuk mereka-mereka yang bernasib baik sahaja. Kerana tidak ada nasib baiknya jika tidak ada usaha kearah kebaikan. Demi Allah yang memegang jiwaku, semoga Allah menghindarkan aku dan saudara-saudaraku dari sifat berputus asa dengan rahmat Allah.
Aku membaca juga artikel-artikel tentang keruntuhan rumah tangga sehingga menyebabkan anak-anak menjadi liar dan rosak. Serta mereka menjadi sangat marah dengan kehidupan mereka. Mereka berdendam kepada ibu bapa mereka dan dunia ini. Ianya menjadikan aku insaf. Dan aku tidak ingin anak-anak aku melalui situasi itu. Semoga Allah memelihara rumah tangga aku dan kalian semua.
Aku sebenarnya tidak pernah melalui situasi ini. Situasi diri yang terasa sangat sedikit pengetahuan dan sangat kerdil dalam kehidupan yang luas ini. Syukur kepada Allah kerana meniupkan kedalam hati aku rasa kekurangan dan rasa jahil. Deminya aku menjadi lebih tawadduk dan lebih gigih.
Dengan dunia dan seisi-isinya yang Allah ciptakan dengan sangat indah ini. Semoga dapat dijadikan jambatan kearah kesudahan yang baik. Semoga menjadikan aku seorang yang lebih bersyukur dan dijauhkan sifat tamak. Dengan kelemahan-kelemahan inilah membuatkan aku menyedari akan diri ini sebenarnya hanyalah hamba Allah. Semoga Allah mengukuhkan rasa dan sifat kehambaan ini. Serta dijauhkan aku dari sifat riak dan takbur.
“Wahai diri… Selagi engkau berpijak diatas muka bumi Allah dan dibawah langitNYA. Janganlah sekali-kali engkau sombong dan bongkak dengan kelebihan-kelebihan yang sedikit itu. Dan jangan pula engkau bakhil dalam kesenanganmu. Jangan juga engkau keraskan hatimu dalam menerima peringatan-peringatan. Semoga Allah menambah kasih sayang yang ada didalam diriku dan menjauhkan aku dari sifat benci dan dendam yang merosakkan.”