Tadi aku nengok citer omputih, tajuk dia the Street Fighter - The Lagend of Chun Li. Secara keseluruhannya mengisahkan perjuangan seorang anak untuk menyelamatkan ayahnya yang kena tangkap dek orang jahat. Tapi bukan itu yang aku hendak ceritakan disini. Aku Cuma tertarik pada satu pengisian dalam cerita tersebut. Iaitu mengenai kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Sehingga dia sanggup menjadi boneka yang diperalatkan oleh orang jahat demi menjamin keselamatan anaknya.

Secara kebetulan orang jahat tur pun seorang ayah juga. Aku tertarik pada moral yang pengarah nak tunjukkan kat dalam filem nih. “setiap ayah mempunyai kelemahan yang sama, iaitu mereka sangat sayang pada anak mereka, dan sanggup lakukan apa saja untuk keselamatan anak mereka”

Aku rasa sangat benar apa yang dikatakan. Sebab aku adalah seorang ayah. Walau sejahil mana pun seorang ayah itu, dia tetap tidak rela anaknya menjadi orang yang jahil. Atau sejahat mana sekali pun seorang ayah itu. Namun dia tetap akan menginginkan anaknya menjadi orang yang baik-baik. Ini fenomena biasa. Janganlah kemukakan kepada aku apa yang luar biasa pula. Sebab ada juga jenis ayah yang merosakkan anaknya sendiri. Tapi bilangannya sangat kecil(walaupun bilangan yang kecil ini sangat merosakkan sebenarnya, sangat merosakkan himpunan baik yang banyak itu). Tapi kali ini aku tidak ingin membicarakan kumpulan yang sedikit itu.

Janganlah ada pula yang membandingkan kasih seorang ayah dan kasih seorang ibu kepada seorang anak itu. Itu tidak adil, kerana ibu dan bapa adalah dari dua dunia yang sangat berbeza. Kerana seorang bapa tega menyakiti anaknya demi untuk kebaikan anak itu, sedang dari pihak ibu, aku berpendapat mereka kurang kekuatan untuk melakukannya. Dan bapa juga adalah orang yang rela dibenci anak-anak demi meletakkan anak itu disiplin dan dalam melaksanakan undang-undang yang baik  demi masa depan anaknya. Dan aku  juga berpendapat golongan ibu tidak mungkin tega untuk melihat anaknya menjauhi dia kerana tidak puas hati dengan ketegasannya.

Apa rasanya bila melihat anak kita sakit? Aku bertanya kepada seorang bapa. Kerana telah aku jelaskan pandangan aku mengenai ibu dan bapa ini. Mereka dari emosi dan golongan yang berbeda. Apa perasaan kalian? Sakit sama? Atau sedih hiba? Atau bersalah.

Sebenarnya aku baru saja menghayati perasaan ini lewat minggu lepas, bila anak aku yang bongsu sakit. Demam panas. Aku hanya mampu melihat kerana aku bukan doctor. Dan satu malam, ketika panasnya melebihi kemampuannya(aku kira) sehingga badannya tersentak-sentak. Aku panik sangat. Doctor kata basahkan badannya sentiasa. Jangan biarkan badannya kering kalau terlampau panas. Sampai pukul 8 pagi aku berjaga. Macam-macam fikiran buruk berlaku. Bagaimana kalau-kalau Allah nak mengajar aku redha kali ni? Apakah aku telah kuat? Yaa Allah, sesungguhnya hambamu sangat lemah.

Dan yang aku tak tahan tur, dalam suara yang dengar dan tak dengar dia kata. “Appa anji nak eli kek ari adi adek.” Yaa Allah, “iya papa janji sayang, papa janji. Sebab tu adik kena cepat baik demam yer..?” Uwaaaa…………. Anak aku yang ni pulak kalau dia demam, katakan 3 hari, maka 3 harilah dia tak meragam, tak menangis, tak merengek-rengek. Senyap jer. Kalau dia pandang tur, dia pandang jer tak berkelip-kelip mata dia. Dan sedih sangat bila lihat dia bersungguh-sungguh untuk sembuh dari demam. Bila dia Tanya. “ubat adek aner…” Dan dalam demam tur, kalau dia nak pergi bilik air, atau nak minum air mineral yang aku letakkan sebelah tempat tidur dia(sebab aku selalu cakap kat dia “orang demam kena banyak minum air masak kalau nak cepat baik”). Dia akan bangun dengan huyung hayang. Tak sikit pun dia merengek mintak nak itu ini. Kalau tak tahan sangat sakit agaknya, Cuma air mata dia jer yang meleleh keluar, sedangkan suara dia sikit pun tak der.
Dalam debar dan ketidak tentuan emosi itu aku terfikir, jika orang dewasa mendapat sakit dan musibah. Itu adalah kifarah buat mereka. Kerana mereka banyak melakukan kesalahan dan dosa. Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak kecil ini? Mereka tidak punya dosa. Jika ada kesalahan mereka sekalipun Allah memaafkan mereka, dan tanggungjawab itu pula tidaklah ditimpakan keatas mereka. Kerana mereka masih belum berakal. Lalu aku seakan mendengar suara yang berkata. “Itu adalah kifarah buatmu, sesungguhnya anak-anak itu memohon kifarah buat ibu dan bapa mereka, lalu mereka memohon. Yaa Allah, engkau bagilah saya sakit, supaya dapat menjadi kifarah(denda, penghapus dosa) buat ibu bapa saya.”

Yaa Allah, tak tertahan-tahan air mata aku saat itu. Jika dikatakan kasih ibu bapa kepada anak-anak mereka sehingga sanggup berkorban nyawa. Bagaimana pula kasihnya anak-anak itu kepada ibu bapa mereka? Tanpa kita sedari sebenarnya dalam menjalani kehidupan yang rencahnya adalah tipu daya ini, kita sering melakukan kesilapan(dosa). Dan kita lalai dalam mengakui kesilapan tersebut(taubat). Sehingga anak-anak menjadi galang gantinya.

Renungkanlah, apa engkau berkira engkau boleh berlaku enak dengan melalaikan Allah dan hak-hak-Nya? Jika saja tiada doa anak-anakmu?

“Wahai anak-anakku, aku tidak pernah walau sedikit merasa hampa atau jauh sekali menyesal menjadi ayah kalian. Menjadi ayah kepada anak-anak yang hebat seperti kamu adalah saat yang paling indah dan membanggakan dalam hidupku. Dan jika aku mempunyai kuasa menentukannya, aku ingin hidup dengan lebih lama didunia ini dan dikurniakan kesihatan rohani dan jasmani. Kerana aku ingin melihat engkau membesar dan berdikari. Aku ingin menjadi rujukanmu saat engkau keliru, aku mahu menjadi pedomanmu saat engkau tersasar. Namun semua itu bukanlah daya kudrat hamba. Semuanya terletak didalam ketentuanNya. Entah aku sempat melihat kalian dewasa atau tidak. Namun aku memilih untuk bersangka baik dengan Allah itu. Apa saja yang Ia tentukan buat kita , itu adalah yang terbaik, kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.”