Tahun lepas punya azam belum tercapai lagi, dah masuk tahun baru dah pulak. Sebenarnya tahun lepas aku ada azam. (rahsia laa) tapi tertunai separuh je. Eh tiga suku jer.  Jadinya aku nak menggabungkannya saja dengan azam tahun ni  la kiranya. Dan azam tahun ni pulak. Aku berazam nak dapatkan balik semula apa yang dah hilang dalam kehidupan aku. Sebenarnya, kalau aku fikir-fikirkan semula. Apa yang aku telah miliki, jika Allah tak amek semula. Sebenarnya telah lebih dari mencukupi. Tapi itulah sifat manusia, tidak pernah cukup. Dan selalu lalai untuk bersyukur. Lalu Allah memberi pelajaran dengan mengambilnya semula. Dan barulah aku sedar bertapa beruntungnya aku kerana mempunyai semua yang diidamkan oleh semua lelaki yang waras akalnya.

Isteri yang baik dan cantik, anak-anak yang comel dan bijak. Perniagaan yang boleh dibanggakan. Ibu bapa dan adik-adik yang sangat sayangkan aku. Mertua yang selalu melebihkan aku dari menantu-menantunya yang lain. Malah melebihkan aku dari sesetengah hal dari anak-anaknya sendiri. Apa lagi yang aku hendak dalam hidup ini? Apa yang tidak cukup. Dari sifat meterialnya aku serba mencukupi.

Dan dari segi rohaninya pula. Aku tergolong juga dalam sukatan yang dikelaskan beruntung juga. Hampir kepada sahabat-sahabat yang mengutamakan Allah dan RasulNya lebih dari segala yang lain. Serta juga merasa enak dan manis mengerjakan barang yang diperintahkan Allah. Tetapi itulah sikap dan sifat manusia. Selalu sahaja merasakan yang “dia berhak mendapat lebih dari ini”. Dan bergitulah yang terjadi kepada aku, sehingga aku lalai dalam bersyukur kepada Allah. Dan menjadikan aku seorang yang tamak dan gopoh dalam banyak hal. Bikan saja perlakuan ini membinasakan duniaku, malah ianya membinasakan juga sifat-sifat rohani.

Namun Allah itu Maha Mengasihi hamba-hambanya, dan Dia-lah yang Maha Bijaksana dalam Memberi Pengajaran. Lalu Dia ambil satu persatu semua yang aku miliki. Dan meninggalkan kepadaku sebahagiannya sahaja. Dan barulah aku menyedari, selama ini bertapa beruntungnya aku. Bertapa bertuahnya aku. Dan sedar diri juga yang bertapalah aku ini angkuh dan lalai dalam menunaikan hak-hak Allah itu. Serta lewa dalam menjaganya.

Jadi, tahun baru ini aku cuma berazam untuk  mengusahakannya semula. Dengan sunguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang telah aku kehilangan itu. Dan bila aku renung semula kedalam diri aku sendiri, ternyatalah apa yang ada sebenarnya sudah amat kurang jika dibandingkan dengan masa dahulu. Jika dahulu aku seorang yang sangat tabah dan tidak  mengenal erti putus asa. Tapi kini, aku seorang yang sangat sikit tekad dan nekadnya. Sangat mudah berpuas hati dengan apa yang aku kecapi. Secara perlahan-lahan menjadikan aku lelaki yang mundur dan jahil.

Benar, dalam sesetengah hal sangat bagus sifat itu. Cepat bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan. Tapi jika dalam semua hal? Sehinggakan dalam menghimpunkan ilmu dan amal pun kita cepat sangat berpuas hati dengan tahap yang dicapai. Nescaya menjadi manusia yang rugilah kita. Baik didunia, mahupun di akhirat.

Hijrahlah wahai diri. Hijrahlah dari hati yang pengecut dan was-was!!! Namun keberanian yang tidak disertakan kebijaksanaan. Hanyalah sebilah pedang tajam yang ditetakkan ketubuh sendiri. Tiada lansung kebaikannya. Sangat bahaya dan sesungguhnya sangat membimbangkan. Lebih banyak mudharat dari menafaatnya. Jadi keberanian itu perlulah disertakan dengan ilmunya. Dan ilmu itu pada pandangan aku bukanlah untuk menjadikan sesorang itu angkuh dan sombong. Tetapi ilmu yang dikurniakan keberkatan didalamnya, akan membentuk insan itu menjadi seorang yang lebih tawad’uk. Bukan seorang yang akan merasakan dirinya lebih mengetahui dari segolongan yang lain. Dan bukan juga merasakan pendapat dan pandangan orang lain itu sentiasa salah atau tidak tepat. Tetapi merasakan “aku bisa saja  seleweng dari kebenarannya, dan orang lain itu mungkin saja lebih tepat pendapatnya.”

Aku rindukan cabaran. Aku selalu saja mencari-cari ruang untuk itu. Tetapi kini aku menjadi sangat berperasangka kepada sesuatu yang buruk. Dan langkah aku sentiasa saja tersekat-sekat untuk itu. Jika dulu tiada apa atau sesiapa selain Allah sahajalah yang mampu mengubah setiap apa yang aku putuskan untuk diriku sendiri. Tetapi seperti yang aku nyatakan sebelumnya. Jika tidak disertakan dengan kebijaksanaan ianya hanyalah perbuatan dan tindakan yang bakal memudaratkan diri sendiri sahaja.

Aku rindukan ketakutan dulu. Ketakutan yang sengaja aku tempah. Kerana dengan itu menjadikan aku lebih takwa. Kerana situasi demikian menjadikan aku lebih hampir dengan Allah. Menjadikan aku lebih yakin, yang Allah itu Maha Berkuasa pada tiap sesuatu.

Walaupun dilihat kehidupan dahulu itu seperti sebuah perjalanan bersendirian yang sangat sunyi. Tetapi hakikatnya aku berasa sangat hampir dengan Pencipta. Dan tidak sesaat merasa kesorangan. Dan kini aku melalui situasi yang berbeda. Dalam keriuhan, dan keramaian ini , aku sebenarnya sangat sepi dan kesorangan. Sepertinya ditinggalkan oleh kabilah di tengah padang pasir yang tandus. Dengan bekalan yang sangat sedikit, namun dalam waktu yang sama harap kepada ehsan Allah itu sangat tipis dalam hati. Yaa Allah , aku sangat khuatir dengan keadaan ini. Aku sangat mengkuatiri diri sendiri yang jauh ini. Adakah kalian merasakan apa yang aku rasakan ini?

Tetapi dalam satu hal yang aku menyukainya. Ialah perasaan dan usaha dalam memberi pertimbangan yang lebih dalam dan serius kepada perasaan orang lain itu. Tolak ansur dan hati-hati dalam berbicara atau memutuskan sesuatu yang berkaitan dengan orang banyak. Tidak seperti sebelumnya aku hanya memandang perbuatan itu sesuatu yang sangat sedikit kebaikannya. Atau lebih kejam, aku hanya memandangnya dengan pandangan yang kosong dan merugikan. Lalu aku menjadi seorang saudara yang biadab dan tidak berperi kemanusiaan kepada saudaranya sendiri. Seolah seperti ditaktor yang tidak mahu lansung bertolak ansur dengan pandangan orang bawahannya . Yang mana apa saja  yang bertentangan dengan prinsip dan falsafahnya, adalah sesuatu yang mencemarkan. Dan pengabaian itu adalah tindakan yang wajar.

Namun  seperti kenyataan yang lain juga. Terpaksa saja menerima yang hakikat kebangkitan semula itu lebih payah dari penghijrahan yang pertama. Mencari kekuatan disebalik kejatuhan lebih sengit saingannya dari pada perjuangan di medan perang yang paling dasyat. Nekad dan ketabahan yang diperlukan adalah berjuta-juta kali ganda lebih tinggi diperlukan. Tetapi syukur kepada Allah yang mengurniakan aku kekuatan baru ini. Kekuatan yang datang dari nekad yang sungguh-sungguh. Nekad yang disertakan dengan keberanian yang sangat tinggi. Yang satu waktu dulu aku kekurangan rencahnya. Kesungguhan yang disertai dengan kesabaran. Keberanian yang datang dengan kebijaksanaan.

Aku akan mengutip yang tercicir itu. Dan aku akan menghimpunnya dengan penuh kesabaran. Biar pun aku hanya mampu mengutip sebutir  dari segunung pasir yang banyak itu. Tetap jugalah tidak akan aku kecewa dan berputus asa kali ini. Jauh sekali sengaja mencari-cari kesalahan orang lain dalam keterlibatan mereka demi untuk dijadikan sandaran dan alasan supaya aku bisa berundur dari perjuangan ini. Aku ingin merasa bangga dengan diri sendiri, seperti yang pernah aku rasai lewat satu waktu dahulu. Bukan maksudku aku mencari ujub dan takbur. Aku ingin mengecapi kepuasan. Merasa puas dan berbaloi dengan diri sendiri dan pencapaiannya. Aku sangat merindui perasaan itu. Aku pernah melalui zaman itu. Namun kesilapan telah meragut semuanya. Dan aku tidak akan sekali-kali melakukan kesilapan tersebut sekali lagi. Tidak sama sekali!!!

Pernahkah antara kalian merasa terhina? Atau merasa diperkecilkan? Atau dipandang remeh oleh orang lain? Kadang-kadang pada hakikatnya tiada sesiapa pun yang menghina, atau memperkecilkan diri kita. Kadang-kadang perasaan tersebut datang dari dalam diri sendiri. Sebenarnya ini lebih menyakitkan. Dan kesakitan ini mendatangkan kesan yang sangat dalam. Sangat memenatkan untuk menghindarkannya. Dan perasaan itu lebih menyedihkan.

Aku telah bebas dari belenggu tersebut. Jika sekalipun tidak secara keseluruhannya. Sekurang-kurangnya, ia telah lebih dari separuh. Dan hari demi hari kedewasaan itu semakin menghampiri kematangan. Dan aku melihat kekurangan serta kesempitan itu sesungguhnya satu tarbiah yang sangat berkesan. Semoga Allah menambahi aku dengan rasa syukur dan tawakal. Syukur dengan kesederhanaan yang tidak mengurangi aku pada setiap keperluanku. Dan tawakal pada setiap ruang yang sempit yang kadang-kadang akal melihat pada penyelesaian yang hampir tiada pada jalan tersebut.

Sangat membahagiakan perasaan tersebut sebenarnya. Satu rasa yang nyata, yang anda tidak lagi dibelenggui oleh kelemahan yang datang dari perasangka dan rendah diri yang merugikan. Tawaduk’ itu sesungguhnya perlakuan yang sangat mulia dan pegangan yang benar. Dan benar-benar sesungguhnya ia adalah kebenaran yang menguntungkan. Tetapi merasa rendah diri pada kelebihan orang lain adalah merugikan.

Sesungguhnya seorang yang bijak dan berakal dalam kebijaksanaannya akan hanya merasa rendah diri dari kelebihannya sendiri. Merasa kekurangan apa bila dia melebihi orang lain. Bukan kerana tamak dan rasa tidak cukup, tetapi melindung hati dari memandang hina pada yang lain itu dengan merasakan diri sendiri ini lebih. Merasa jahil bila dia lebih mengetahui sesuatu itu dari seseorang yang lain. Itulah tawaduk’ yang sepatutnya. Dan itulah rendah diri yang positif itu.

Namun dalam banyak hal, rendah diri yang terpancar dari dalam diri seseorang itu hanyalah sifat yang merugikan yang tidak sepatutnya sedemikian darjat amalan tersebut. Maka aku telah melepaskan gengaman tangan-tanganku daripada berpaut pada dahan-dahan yang meranting dan rapuh.

Yaa Allah. Tambahilah aku dalam mengusahakan sesuatu kebaikan. Dan mudahkanlah dunia ini kepadaku. Kerana aku ingin memenafaatkannya untuk akhiratku. Dan dengan itu aku melihat hanya dengan jalan takwa kepadaMu. Namun ia tidaklah semudah menyebutnya. Dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui tingkatanku. Dan Engkau lebih mengenali seseorang hamba itu dari dia mengenali dirinya sendiri. Maka aku meletakkan yang diriku ini sesat dalam mencari hala tuju perjuanganku. Aku juga sesat dalam memilih bilangan yang manakah hendak didahulukan. Maka Engkaulah Sebaik-Baik Pembimbing. Maka inilah aku. Yang telah engkau serahkan kepadaku, lalu aku mengembalikannya kepadaMu semula. Kerana aku lebih yakin dengan takbirMu dari diriku sendiri. Kerana diriku ini pastilah akan leka semula. Dan terpedaya juga kepada segala tipu daya itu andainya tiada Perlindungan dan Pembelaan dariMu.

Dan telah aku tinggalkan keluh kesah itu. Keluhan kecewa pada sesuatu ketentuan. Dan risau resah pada hari esok yang telah ditentukan. Dengan ini aku melihat jalannya adalah dengan syukur dan redha. Menggunung juga penyesalan pada setiap nafas yang tersia-sia. Pada kudrat yang terbazir dalam mencari keutamaan dan kelebihan dunia. Sedang ianya telah tersedia dan terhidang untukku. Maka kenapakah wahai diri,…engkau merasa sangat risau kepada khazanah yang banyak itu? Tidakkah engkau mendengar peringatan. “Jika seluruh hambaKu berdoa kepadaKu dan memohon kepadaKU, dan AKU menunaikan seluruhnya. Maka ianya tidak sedikitpun mengurangi khazanahKU”

Dalam memahami perkara yang satu ini. Tidaklah aku meletakkan sikap berpeluk tubuh itu adalah sama menafaatnya dengan yang bermati-matian dalam mengusahakan sesuatu kebaikkan itu. Andai saja kedua-duanya dikurniakan dengan kurniaan yang sama rata sesuai dengan ketentuan yang telah ditentukanNYA. Namun ingatlah dan halusilah ini. “Diantara hambanya yang bermujahadah itu dengan yang berlazat-lazat, yang manakah lebih disenangi oleh Allah dalam Memberi itu tadi? Dan jika menilaikan pula kurnia Allah itu dengan KecintaanNya kepada hambaNya, yang manakah lebih utama pula?”

Dengan itu syukur dan redha itu adalah tindakan yang sia-sia jika ianya dilakukan dengan pengertian yang dungu dan jahil. Malah lebih merugikan pula bila pengertian yang bodoh itu tadi dikeraskan kepada diri sendiri dan ditegaskan kepada orang lain sebagai perlakuan yang benar dan haq.

Selamat Menyambut Ma’al Hijrah. Hijrah-lah wahai diri dalam erti tafsirnya.