Wahai isteriku. Engkau telah hidup disamping aku dengan penuh kesederhanaan. Dengan penuh rasa syukur dan terima kasih. Tidak pernah kau menidakkan aku dan tidak pernah juga engkau meninggikan suaramu lebih dari suaraku. 

Jika aku diumpamakan matahari engkaulah cahayanya. Sentiasa engkau bersama aku walaupun disaat semua orang menghindarkan diri. Engkau berkata kepada aku. “Wahai Abang, aku bahagia menjadi isterimu”

Sungguh engkau membuatkan aku juga bahagia. Demikian Allah menciptakan engkau untuk aku. Dan benarlah janji Allah itu, sesungguhnya ia telah mengantikan dia yang telah pergi dengan engkau yang sejuta kali lebih baik. Dan Allah juga mengurniakan aku anak-anak yang molek akhlaknya yang tidak aku dapat dari perempuan-perempuan yang lain. 

Wahai isteriku. Engkau selalu berjaga disaat aku terlantar sakit yang tenat. Dan sering menangis bila aku menyakitkan hati. Tetapi engkau selalu siap memaafkan aku sebelum aku menyedari kesilapan aku.

Dan bila aku tanyakan padamu. “Ayang sayang dengan abang tak?”

Lalu kau jawab. “Sayang”

“Banyak mana?”

“Banyak sangat, lebih banyak dari daun-daun kat seluruh dunia ni. Lebih banyak dari air di lautan.”

Dan malam ini kau bertanyakan kepada aku seperti yang pernah engkau tanyakan pada aku satu masa dulu. 

“Abang ada girlfriend tak?”

“Hisk, tak der...” (Sambil termuncung-muncung aku menjawab)

“Sorang pun tak der? “

“Tak der, sorang pun tak der.”

“Kat internet tur? Kan abang selalu chatting-chatting tur?”

“Tak der, kat internet pun tak der.”

Lalu engkau berkata. “Abang...kalau abang hendak kawin lagi, ayang tak melarang. Tapi carilah yang lebih baik dari ayang. Dan jangan pula tiada beban batu digalas.”

“Hiss kesitu pulak ayang nih.!”

“Tak la, ayang tak boleh menyekat kemahuan suami.”

“Abang, selama kita berkahwin. Ayang tak pernah biarkan abang susah. Dan kalau abang nak cari isteri sorang lagi janganlah yang menyusahkan abang.”

Aku diam seribu bahasa. Memang betullah kata orang lelaki ni jangan dilarang. Kalau di larang makin menjadi, makin dibuatnya. Betulah tu. Dulu, aku pun kemain laaa gatalnya nak berbini 2,3 ni. Dan aku pulak jenis lelaki yang tidak mungkin untuk dikawal oleh perempuan. Tetapi bila di bagi lesen ni. Rasa tawar hati je. Rasa tak ingin nak mengedik-gedik dengan perempuan-perempuan lain.

Jauh disudut hati aku mohon dengan Allah biarlah jodoh aku kekal dengan isteriku. Dan biarlah engkau sahaja isteriku sehingga ke akhir hayatmu.

Dan aku yakin yang tiada perempuan yang mampu berbuat dan menjadi sehebat kamu. Yang mana kau setia kepada aku disaat kamu suka dan kamu marah. Dan kau taat diwaktu kamu gembira dan dikala kamu kecewa.

Wahai isteriku, redha benar engkau, aku sebagai suamimu. Dan aku redha engkau sebagai isteriku. Dan sesungguhnya Allah itu redha kepada seorang isteri bila mana suami-suami mereka redha kepada mereka.