Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Segala puji pujian hanya layak bagi Allah Pemerintah Yang Maha Agong. Dan Muhammad SAW itu adalah PesuruhNya. Selawat serta salam kepada Baginda serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda SAW.

Assalamualaikum.

Pertama, selamat hari jadi adik Long, Dee.
Macam biasa juga Long tak der hadiah untuk tu :P . Tapi percayalah, Long sentiasa mendoakan kebaikan untuk adik-adik Long keseluruhannya. Baik kebaikan itu Allah segerakan didunia ini atau pun Allah tangguhkan diakhirat kelak.

Sama juga macam tahun-tahun yang lepas, Long Cuma ada peringatan demi peringatan, nasihat demi nasihat dan juga kata-kata semangat demi semangat.
Dan tulisan ini hanyalah berkebetulan pada tarikh ini, namun ianya khusus untuk semua adik-adik Long.

Jangan takut dengan usia yang bertambah, kerana manusia menjadi tambah berkualiti bila ia melalui pengalaman hidup yang banyak. Dan manusia itu juga meningkat darjatnya disisi Allah seiring dengan pertambahan usianya. Manusia yang lebih tua itu fitrahnya lebih sabar dari manusia yang muda. Manusia yang tua itu fitrahnya lebih banyak kebaikan yang telah dikerjakan berbanding dengan manusia yang muda. Dan demikian juga manusia yang tua itu fitrahnya lebih banyak dan tinggi keinsafannya berbanding dengan yang berusia muda. Semoga Allah meletakkan kita pada fitrah yang baik, yakni yang sejajar dengan sunnah-sunnah Nabi SAW.

“Yaa Rahman , yaa Rohim. Aku mohon kepada Engkau, cukupkanlah dunia ini keatas kami, janganlah jadikan kami diantara orang-orang yang mengejarnya mahupun yang menghimpunnya atau juga yang kikir. Kurniakanlah keberkatan berupa usia yang berkat, ilmu yang haq, isteri yang taat, anak-anak yang soleh dan solehah, saudara-saudara yang penyayang , sahabat-sahabat yang setia dan amanah, pemimpin dan kerajaan yang adil serta harta yang bersih. Dan sesungguhnya Engkau Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Wahai Allah, adik-adikku adalah anak yang santun terhadap Ibu  Bapanya, maka aku mohon kepadaMU, Engkau kurniakanlah ia dengan kurnia yang banyak, berupa keteduhan ditempat yang tidak ada peneduh(mahsyar), berupa kelapangan  ditempat yang tidak ada kelapangan(kubur). Sedang aku berhajatkan kepada kebaikan yang sama jua yaa Rabbi.

Dan sesungguhnya adik-adikku ini juga adalah saudara yang mempermudahkan saudaranya. Demi Ketinggian ZatMU yaa Allah. Engkau permudahkanlah segala keperluannya didunia. Dan Engkau permudahkanlah soal kubur dan hisab baginya.

Wahai Zat yang Maha Agong. Sesungguhnya adinda-adindaku adalah seorang musuh yang pemaaf  kepada musuhnya. Maka aku mohon kepadaMU, Engkau murahkanlah kemaafan dan keampunanMU terhadap kesalahan-kesalahannya.

Wahai Allah, segala rupa kesyukuran aku panjatkan kepadaMU, demi kurnia ini. Dengan melahirkan mereka sebagai saudara-saudari kandungku. Maka demi Engkau yang Maha Pengasih. Saudarakanlah kami dimahsyar kelak seperti Engkau saudarakan kami didunia ini.

Dan jika Engkau panjangkan umur kami, maka jadikanlah lengan-lengan kami akan tiang-tiang AgamaMU. Demi Engkau wahai Allah. Pilihlah aku untuk syahid kejalanMU. Dan jika ada bahagianKU disisiMU, aku mohon yaa ALLAH, SERTAKANLAH SAUDARA-SAUDARAKU BERSAMAKU. Amin”

Wahai adik-adik Long. Hidup kita tidak pernah akan kekal selamanya didunia ini. Sama ada kita merasa suka kepadanya, atau kita merasa penat dan lelah kerananya. Pasti kematian itu menjemput kita pergi. Namun janganlah jadikan takdir itu sebagai alasan atau sandaran untuk memilih jalan berputus asa. Sesungguhnya sangatlah rugi bagi mereka-mereka yang berputus asa.

Dan kejayaan yang hakiki didalam sebuah kehidupan adalah sejauh mana dia dapat taat perintah Allah, dan beramal seperti mana yang Nabi SAW amalkan. Kehidupan manusia akan menjadi tenang apabila dia sentiasa mengutamakan akhirat melebihi dunianya. Namun kehidupannya bertukar sebaliknya, menjadi resah dan gelisah serta sentiasa didalam ketakutan bila mana kita meletakkan dunia pada tempat yang pertama dan tinggi melebihi Agama dan akhirat.

Carilah dunia ini sekadarnya, yakni jangan sampai kita terpaksa meminta-minta kepada orang lain. Kerana Nabi ada berpesal yang bermaksud : "Hindarilah kefakiran, kerana ianya menghampirkan kamu kepada maksiat."
Namun janganlah meletakkan segala keperluan itu tadi pada darjat tujuan hidup. Kerana tujuan hidup ini bukanlah menghimpun dunia, tetapi menghimpun bekal bagi akhirat. Lalu gunakanlah dunia yang ada untuk menuju akhirat.